DUNGUN: Seekor penyu belimbing dikesan mendarat dan bertelur di Pantai Jambu Bongkok, Marang awal pagi tadi, menjadikan keseluruhan empat pendaratan penyu spesies berkenaan direkodkan di negeri ini dalam masa sebulan.
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, penyu itu ditemukan oleh seorang nelayan kira-kira 4 pagi sebelum maklumat itu diterima Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (TCIC) Rantau Abang, di sini, pada 5.30 pagi, dengan sebanyak 70 biji telur berjaya diselamatkan hari ini.
"Kerja menggali sarang dijalankan pada 6 pagi dan sebanyak 70 biji telur berjaya dikeluarkan sebelum dipindahkan ke tapak pengeraman TCIC Rantau Abang.
"Pemeriksaan di lokasi turut merekodkan kelebaran jejak penyu kira-kira 2.17 meter," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, penemuan itu menjadikan keseluruhan 265 biji telur daripada empat sarang penyu belimbing berjaya dipindahkan untuk tujuan perlindungan dan pengeraman sejak 1 Sept lepas.
Beliau berkata, pendaratan pertama direkodkan pada 1 Sept di Pantai Pasir Puteh, Marang dengan 44 biji telur diikuti pendaratan kedua pada 13 Sept di Pantai Rantau Abang yang menghasilkan 81 biji telur, manakala pendaratan ketiga pada 22 Sept di Pantai Kuala Abang dengan 70 biji telur.
"Empat pendaratan yang direkodkan sepanjang September hingga hari ini merupakan perkembangan yang amat bermakna dalam usaha pemuliharaan penyu belimbing di Terengganu," katanya.
Adnan berkata, kesemua empat sarang berkenaan kini berada di bawah pengurusan pemuliharaan TCIC Rantau Abang, dengan telur ditanam semula pada kedalaman antara 80 hingga 100 sentimeter bagi menyediakan keadaan yang hampir sama dengan sarang semula jadi.
Beliau berkata, tempoh pengeraman dianggarkan antara 55 hingga 70 hari bergantung pada suhu pasir dan keadaan sarang, dengan telur daripada sarang pertama dijangka menetas antara 26 Okt hingga 10 Nov, sarang kedua (7 hingga 22 Nov), sarang ketiga (16 Nov hingga 1 Dis) dan sarang keempat (25 Nov hingga 10 Dis).
"Pemantauan terhadap keadaan setiap sarang akan dilaksanakan secara berkala oleh TCIC Rantau Abang sehingga proses penetasan selesai," katanya.
Adnan berkata, usaha pemuliharaan penyu belimbing memerlukan kesinambungan antara pemantauan saintifik, pengurusan sarang, penguatkuasaan dan penglibatan masyarakat, khususnya komuniti setempat serta nelayan.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak mengganggu atau menyentuh penyu yang mendarat, sebaliknya, segera melaporkan penemuan kepada Jabatan Perikanan Malaysia bagi membolehkan tindakan perlindungan dan pemuliharaan dilaksanakan.
-- BERNAMA