Skip to main content

Malaysia

Penyusunan semula perbelanjaan tidak jejas pengambilan doktor, jururawat baharu - PM

KUALA LUMPUR, 28 April -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada majlis Temu Anwar dan Majlis peluncuran pembinaan bangunan baharu Universiti UCSI hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Anwar berkata, tiada kekeliruan berhubung langkah tersebut, khususnya dalam sektor perubatan, apabila pengambilan doktor dan jururawat baharu serta pembinaan klinik awam tidak terjejas.- Foto/ Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa langkah penyusunan semula dan semakan perbelanjaan kerajaan tidak menjejaskan sektor asas seperti kesihatan dan pendidikan, sebaliknya hanya melibatkan pengurangan perbelanjaan berlebihan.

Beliau berkata tiada kekeliruan wujud berhubung langkah tersebut, khususnya dalam sektor perubatan, apabila pengambilan doktor dan jururawat baharu serta pembinaan klinik awam tidak terjejas.

Advertisement

“Perubatan tidak terkesan, pengambilan doktor baharu dan jururawat tidak terjejas, pembinaan klinik juga tidak terkesan. Cuma skop hospital yang terlalu mewah... itu kita kurangkan,” katanya.

Anwar berkata kerajaan tetap memberi keutamaan kepada keperluan rakyat, namun pada masa sama memastikan perbelanjaan dilakukan secara berhemah dan berfokus.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Perhimpunan Bersama Warga Kementerian di Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam di Putrajaya pada Isnin.

Mengulas sektor pendidikan, beliau berkata pembinaan sekolah dan kelas baharu bagi menampung kemasukan pelajar sedia ada turut tidak terjejas walaupun terdapat penyusunan semula dalam peruntukan keseluruhan.

“Sekolah tidak ditutup dan pembinaan kelas-kelas baharu untuk kemasukan pelajar sekarang tidak terjejas. Tetapi ada pihak yang terlalu cepat melenting dan mengatakan kenapa perbelanjaan untuk sekolah dan hospital dikurangkan,” katanya.

Menurut Anwar, kerajaan hanya mengurangkan perbelanjaan berskala besar yang tidak kritikal, termasuk penganjuran kursus berlebihan dan kos latihan di luar negara.

“Kursus-kursus berlebihan itu, kalau ada dalam negara, kita buat dalam negara, tidak perlu dihantar ke luar negara,” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga menghentikan penganjuran majlis rasmi di hotel-hotel mewah, sebaliknya mengarahkan ia diadakan di kementerian bagi menjimatkan kos.

Selain itu, Perdana Menteri berkata skop pembinaan yang dianggap berlebihan dalam keadaan biasa turut disemak dan dikurangkan selaras dengan prinsip kecekapan dan keutamaan keperluan semasa.

Langkah itu, katanya, adalah sebahagian daripada usaha kerajaan memastikan pengurusan kewangan negara lebih mampan tanpa menjejaskan kesejahteraan rakyat dan penyampaian perkhidmatan asas.

Baru-baru ini, Kementerian Kewangan dilapor mencadangkan pengurangan perbelanjaan operasi berjumlah RM5.4 bilion membabitkan sektor kesihatan dan pendidikan tinggi sebagai sebahagian usaha mengukuhkan kedudukan fiskal negara.

Cadangan itu dibuat susulan keperluan menyemak semula perbelanjaan kerajaan khususnya ketika beban subsidi dijangka meningkat dan memberi tekanan kepada kewangan negara.

Pengurangan berkenaan membabitkan perbelanjaan operasi kedua-dua kementerian, namun Kementerian Kewangan memberi jaminan bahawa perkhidmatan asas tidak akan terjejas.

Must Watch Video