Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir hari ini membentangkan pelan pembangunan lima tahun bagi negeri itu di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) bertujuan merangsangkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri itu menjelang 2020.

Beliau berkata, rancangan pembangunan bermula 2016 hingga 2020 itu akan menetapkan tujuh teras iaitu merancakkan pertumbuhan ekonomi melalui rantaian baharu ke arah mencapai Pelan Pembangunan Perak Amanjaya dan Wawasan 2020.

Di samping itu, katanya, pembangunan secara inklusif dan mapan akan diteruskan disegenap lapisan masyarakat serta berteraskan rakyat, memperkasakan modal insan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Turut disenaraikan dalam teras itu ialah memperkasa modal insan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat; memperkukuh jaringan infrastruktur secara lestari sebagai asas pertumbuhan akonomi dan kesejahteraan rakyat; dan menggalakkan kreativiti dan inovasi sebagai pelonjak baru ekonomi yang mapan dan berdaya saing.

Memantapkan terus pembangunan yang bersifat seimbang antara mental, fizikal dan spritual; dan merapatkan jurang antara wilayah dan demografi melalui pembangunan koridor ekonomi juga disenaraikan dalam teras itu, kata Zambry.

"Kalau sesesuatu perkara itu tidak mencapai matlamatnya, ia bukan hanya boleh diletakkan kepada kerajaan semata mata kerana kita tahu dalam faktor perancangan ekonomi kita terbuka.

"Kita tertakluk kepada ekonomi dunia kerana Malaysia berada dalam ekonomi dunia dan dalam konteks ekonomi yang terbuka, tentunya suasana yang berlaku di luar negara akan turut mempengaruhi dari segi kesan dan aliran ekonomi dunia.

"Begitu juga dengan faktor-faktor demokrasi, geopolitik yang berlaku di Perak dan Malaysia dan di peringkat antarabangsa," katanya kepada pemberita di Bilik Media selepas persidangan Dewan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Isnin.

"Secara keseluruhannya, itu akan memberi rupa bentuk pembangunan dan pertumbuhan di negeri Perak dalam tempoh lima tahun akan datang menjelang 2020," ujarnya.

Zambry juga memberitahu bahawa kerajaan negeri sedang bekerjasama dengan Kemententian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di samping memberi fokus kepada bidang yang Perak mempunyai kelebihan untuk membawa masuk pelabur.

Beliau memberikan contoh bidang `maintenance, repair dan overhaul' (MRO) yang mampu melonjakkan nama Perak.

"Perak telah dipilih untuk dijadikan pusat MRO bagi pesawat kecil dan kita telahpun mengadakan beberapa siri perbincangan dan diharapkan ia dapat dilaksanaka," tambahnya.

Dalam pada itu Menteri Besar berkata, kerajaan negeri tiada halangan sekiranya sebuah badan pemantauan ditubuhkan untuk mendapatkan maklum balas dan pandangan yang konstruktif bagi pelaksanaan rancangan berkenaan.