IPOH: Perak hanya akan beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) setelah mencapai syarat ketiga nilai ambang, iaitu kadar vaksinasi COVID-19 mencecah 40 peratus.

Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad berkata, Perak boleh mencapai sasaran itu jika bekalan vaksin sampai dengan jumlah yang mencukupi.

Setakat ini, katanya, Perak telah menerima 452,610 dos vaksin daripada 688,760 dos yang dijadualkan.

"Kalau ikut nilai ambang, ada tiga. Salah satunya untuk ke fasa tiga ialah, 40 peratus (vaksinasi). Jadi, itu yang kita rasa ralat sedikit.

"Daripada segi kes, kita rendah, pengunaan katil unit rawatan rapi (ICU) pun mencukupi.

"Jadi, syarat ketiga, iaitu mencapai 40 peratus vaksin, ini bukan masalah pusat pemberian vaksin (PPV) atau jentera tak cukup, tetapi vaksin sampai kepada kita tidak mencukupi," katanya.

Sehingga 21 Julai, seramai 600,627 orang iaitu 32.25 peratus daripada jumlah penduduk Perak yang berumur 18 tahun ke atas telah menerima dos pertama vaksin.

Selain itu, seramai 311,793 orang atau 10.8 peratus telah menerima dos kedua.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam Swasta (PIKAS) di Pusat Konvensyen Casuarina di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi, Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Datuk Shahrul Zaman Yahya dan Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) Datuk Redza Rafiq Abdul Razak.

Jelas Saarani lagi, kerajaan negeri turut berharap akan menerima keseluruhan jumlah dos vaksin yang dijadualkan sebelum akhir bulan ini.

"Mereka telah berjanji untuk memberikan kira-kira 688,000 vaksin, jadi kita membuat persiapan untuk memberi vaksin kepada jumlah yang seramai itu.

"Jika Majlis Keselamatan Negara (MKN) tetap menggunakan nilai ambang ketiga itu, bukan hanya Perak, tetapi saya fikir semua negeri tidak akan sampai ke Fasa Tiga (PPN)," katanya.