GERIK: Tiga daerah di negeri ini dipilih menjadi lokasi temu duga dan pemilihan Guru Takmir Orang Asli (GTOA), khusus bagi meningkatkan syiar Islam dalam kalangan masyarakat itu.

Daerah yang menjadi pusat lokasi temu duga pemilihan yang berlangsung tiga hari bermula Isnin itu ialah Kuala Kangsar, Gerik dan Muallim.

Penyelaras Pentadbiran Masjid Daerah (PPMD) Pejabat Pentadbiran Agama Islam Daerah Gerik, Mohd Wafi Zuhdi Ahamad berkata, peserta dipilih Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Perak untuk diketengahkan sebagai calon guru takmir dalam kalangan Orang Asli.

Katanya, tugas utama GTOA yang merupakan lantikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ini adalah mengajar asas hal ehwal agama sesuai dengan tahap Orang Asli, di surau-surau di lokasi terbabit.

"Jika semua layak, kita akan lantik semua, sebab syarat bagi guru takmir sangat asas, sesuai dengan tahap kefahaman Islam Orang Asli.

"Semua calon temu duga adalah Orang Asli. Itu memang syarat untuk dilantik sebagai GTOA. Difahamkan, kuota awal Jakim beri kepada Perak (untuk GTOA) kira-kira 27 orang," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohd Wafi berkata, Gerik menjadi lokasi pemilihan kedua selepas Kuala Kangsar baru-baru ini.

"Untuk temu duga di sini (Gerik), seramai enam calon Orang Asli hadir. Seterusnya pula akan diadakan bagi daerah Muallim. Calon dikhabarkan seramai 15 orang.

"Temu duga di sini bertempat di Pejabat Pentadbiran Agama Islam Daerah Gerik bermula jam 9 pagi hingga 11.30 pagi.

"Ia membabitkan empat orang panel penilai. Jika calon berjaya, mereka bakal menaburkan khidmat bakti untuk perkampungan Orang Asli masing-masing di RPS Banun, Kemar dan Banun di Gerik," katanya lagi.

Sebelum ini media melaporkan, kerajaan bercadang mewujudkan program khas untuk melantik Orang Asli menjadi guru takmir.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ketika itu, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata, bilangan mereka yang dianggap sedikit ketinggalan mengenai agama dalam kalangan masyarakat Orang Asli, perlu diberi perhatian sewajarnya.