TANJUNG MALIM: Perak memerlukan bekalan vaksin COVID-19 yang mencukupi untuk melaksanakan inisiatif vaksinasi secara 'walk in' atau jumpa terus di negeri ini, kata Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad.

Beliau berkata kerajaan negeri mempunyai fasiliti serta tenaga petugas kesihatan dan sukarelawan yang mencukupi bagi menjayakan inisiatif berkenaan.

"Kita juga boleh buat seperti mana Selangor dan Kuala Lumpur (vaksinasi secara 'walk in' ) kerana cita-cita kita hendak memberi vaksin kepada seramai dan secepat mungkin kepada rakyat di negeri ini.

"Bagaimanapun, kita bergantung kepada vaksin yang dihantar daripada MOSTI (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi), jadi saya merayu supaya kita dapat vaksin yang mencukupi dan menyelesaikan pemberian vaksin dengan cepat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Program Trailer Mobile Outreach daerah Batang Padang di Dewan Semai Bakti Felda Trolak Satu, kira-kira 90 kilometer dari Ipoh hari ini.

Semalam, Saarani dilapor berkata Perak berharap dapat menerima baki bekalan vaksin yang ditetapkan sebelum akhir bulan ini untuk memastikan kadar vaksinasi penduduk di negeri itu mencecah 40 peratus.

BACA: Perak masuk PPN Fasa 3 jika vaksinasi cecah 40 peratus - MB 

Setakat ini, Perak telah menerima 452,610 daripada 688,760 dos yang ditetapkan dan sehingga 21 Julai lepas, seramai 600,627 atau 32 peratus penduduk negeri itu telah menerima dos pertama, manakala 311,793 atau 10.8 peratus telah melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin.

Sementara itu, Saarani berkata pihaknya mengalu-alukan sebarang usaha daripada semua pihak untuk membantu meningkatkan pemberian vaksin kepada rakyat di negeri itu.

Katanya, Program Trailer Mobile Outreach yang dilawatinya hari ini adalah satu daripada usaha yang dilaksanakan Kelab Peminat Cub Prix Malaysia dengan Safe Aim Mutual Sdn Bhd bagi membantu merealisasikan usaha mempercepatkan Perak memasuki Fasa Ketiga Program Vaksinasi dengan menepati salah satu nilai ambang iaitu mencapai 40 peratus vaksinasi.

"Kita mahu mengelakkan peneroka serta anak-anak Felda bergerak jauh untuk mendapatkan suntikan vaksin, jadi inisiatif seperti ini boleh dilaksanakan di kawasan Felda yang lain di seluruh negeri ini," katanya.

Sempena program itu, dua buah treler sukan permotoran Cub Prix diubah suai menjadi pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak bagi kemudahan penduduk di Felda Gunung Besout 1 hingga 6 di sini, selama tiga hari, bermula Khamis lepas.

-- BERNAMA