Skip to main content

Malaysia

Perak siap siaga depani impak Super El Nino - MB

Sumber: BERNAMA
Kerajaan Negeri Perak meningkatkan kesiapsiagaan menerusi agensi berkaitan bagi mendepani impak fenomena Super El Nino yang bermula sejak 14 Mei lepas dan dijangka berlarutan sehingga awal 2027, kata Saarani. - Gambar fail/ Bernama
Advertisement

IPOH: Kerajaan Negeri Perak meningkatkan kesiapsiagaan menerusi agensi berkaitan bagi mendepani impak fenomena Super El Nino yang bermula sejak 14 Mei lepas dan dijangka berlarutan sehingga awal 2027.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Lembaga Air Perak (LAP) sentiasa memantau dan melaporkan ramalan cuaca semasa serta paras air di empangan utama secara berterusan.

“Pada masa sama, Jabatan Alam Sekitar (JAS) memantau bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) secara berkala di setiap lokasi berisiko bagi membolehkan amaran awal dikeluarkan dengan pantas,” katanya pada sesi soal jawab di Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr Najihatussalehah Ahmad (PN-Bota) mengenai pelan tindakan menyeluruh kerajaan negeri dalam menghadapi fenomena Super El Nino yang dijangka memberi kesan terhadap bekalan air, pertanian, kesihatan awam dan alam sekitar.

Menjelas lanjut, Saarani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan berkata, LAP turut mengambil langkah proaktif dengan mengaktifkan pelan mitigasi berperingkat merangkumi pengoptimuman operasi Loji Rawatan Air (LRA), pengezonan semula bekalan, mobilisasi lori tangki air, penempatan tangki statik dan penggunaan sumber air alternatif.

“LAP juga telah mengemukakan permohonan peruntukan RM2.4 juta kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi tindakan mitigasi di kawasan terjejas serta bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menerusi mekanisme war room bagi mengurus sebarang risiko krisis air secara proaktif,” katanya.

Bagi sektor pertanian, Saarani berkata, pengurusan pengagihan sumber air secara cekap melalui infrastruktur pengairan utama dan mobilisasi pam-pam bergerak dilaksana bagi tujuan kitar semula air.

Ia termasuk kawasan pertanian berstruktur seperti IADA Seberang Perak serta pemantauan ketat dijalankan memandangkan kebergantungan kepada sistem pengairan aliran graviti yang terkesan apabila paras air menyusut.

“Sekiranya keadaan semakin kritikal, JPBN dengan kerjasama NADMA dan MetMalaysia bersedia menyelaraskan operasi pembenihan awan di kawasan takungan sasaran,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Pertanian bersama Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) turut mengemas kini serta mengaktifkan penggunaan lebih 100 telaga tiub di kawasan strategik untuk menyalurkan sumber air tanah bagi kegunaan tanaman dan penternakan.

Sementara itu, JAS Perak mengaktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan (PTPTK) dan Pelan Tindakan Operasi Kebakaran Tanah Gambut menerusi rondaan harian waktu siang, malam, dan cuti umum di lokasi hotspot.

Katanya, sekiranya terdapat keperluan, kerajaan negeri akan mengaktifkan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) negeri di bawah pengurusan JPBN bagi membolehkan koordinasi logistik dan pengagihan bekalan air kecemasan dilaksanakan secara pantas.

-- BERNAMA 

 

 

Must Watch Video

Advertisement