IPOH: Kerajaan negeri Perak telah siap siaga dalam menghadapi musim tengkujuh dan kesannya kepada beberapa kawasan berisiko tinggi yang terdedah kepada bencana di negeri ini.

Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad berkata jawatankuasa bencana daerah dan agensi terbabit telah diaktifkan serta dimaklumkan mengenai perkembangan semasa termasuk yang berlaku di negeri jiran seperti Kedah agar membuat persiapan sepatutnya.

"Seperti biasa, pengerusi jawatankuasa bencana daerah iaitu Pegawai Daerah telah diarahkan untuk bersedia apabila menjelang musim tengkujuh. Mesyuarat dan persiapan telah dibuat. Ini yang biasa kita lakukan setiap tahun," katanya.

Beliau berkata pada sidang media secara maya selepas majlis penyerahan dan Notis 5A melibatkan 26 Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) dan 12 Rancangan Pertanian Berkelompok (RPB) di seluruh negeri Perak.

Mengulas lanjut, Saarani berkata setiap pihak tidak kira agensi mahu pun orang awam, perlu memainkan peranan untuk sama-sama peka akan perkembangan semasa mengenai bencana khususnya hujan lebat mahupun tanah runtuh yang boleh berlaku sewaktu musim tengkujuh ini.

"Kita tidak dapat kenal pasti bila ia akan berlaku, kita pun tidak dapat tahan ia dari berlaku termasuk tanah runtuh. Risiko untuk berlaku itu tidak mustahil. Apabila ada hujan lebat, atau tanah runtuh, ia boleh membawa kerosakan kepada kawasan kediaman penduduk dan kawasan berhampiran. Kerana itu kita perlu sentiasa bersedia," katanya.

Dilapor, sebanyak 102 penduduk daripada 29 keluarga membabitkan lima kampung di sekitar Taiping, dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan hujan berterusan hingga menyebabkan kediaman mereka dinaiki air sejak malam tadi.

PPS tersebut adalah Sekolah Rendah Agama Rakyat Ngah Ibrahim Al Baraqah yang kini menempatkan 87 mangsa dari Kampung Sg Rentaka, Matang; Kampung Changkat Baru dan Kampung Jebong Kiri.

PPS Dewan Orang Ramai Sg Baru menempatkan 15 mangsa dari Kampung Sungai Nyior dan Kampung Sungai Tinggi pula telah ditutup kira-kira 2 petang tadi.

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat di beberapa kawasan di Perak membabitkan Kuala Kangsar, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim.

Saarani berkata pihak berkuasa akan menjalankan saringan jika ada mangsa banjir yang positif sebelum diasingkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19.

"Kita ikut prosedur Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Jika ada yang positif, kita akan asingkan. Saya belum mendapat lagi maklumat berkaitan ada mangsa banjir yang positif. Jika ada, mereka akan diasingkan dan ditempatkan di PKRC berdekatan," katanya.

Semalam, Perak mencatatkan 1,036 kes baharu COVID-19 selain sembilan kematian dan tiga kluster baharu.

Terdahulu, Saarani menyaksikan penyerahan hak milik dan Notis 5A melibatkan 2,512 penerima iaitu 2,029 bagi RPT dan 483 RPB yang dilaksanakan di setiap daerah.

Saarani berharap penyerahan hakmilik ini bukan sahaja memberi kelegaan kepada penerima, tetapi dimanfaat sebaik mungkin khususnya bagi mereka yang mengusahakan RPB untuk menjana pendapatan ketika menghadapi suasana sukar susulan pandemik COVID-19 ketika ini.

-- BERNAMA