Skip to main content

Malaysia

Perak teliti bantuan kepada lebih 1,200 pesawah terjejas cuaca panas, bekalan air

71632647905_SawahPadi.jpg
Pesawah di Bota dikenal pasti sebagai kumpulan terjejas akibat cuaca panas dan masalah bekalan air yang turut berpunca daripada kerosakan sebahagian pam air Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). - Gambar hiasan
Advertisement

BAGAN SERAI: Cadangan bantuan kepada 1,265 pesawah yang terjejas akibat masalah bekalan air dan cuaca panas di Bota, Perak Tengah akan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) minggu depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata tinjauan telah dilakukan kira-kira dua minggu lepas bagi mengenal pasti masalah dihadapi pesawah terlibat.

“Insya-Allah kerajaan negeri telah meneliti (dapatan tinjauan) dan saya yakin kerajaan negeri akan memberikan perhatian serius pada keperluan, kehilangan pendapatan dan juga pengeluaran mereka,” katanya selepas merasmikan Peladang Agro Karnival (PAKAR) 2026 di Dewan Zainal Abidin di sini hari ini.

Beliau mewakili Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad pada majlis anjuran Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak itu. 

Mohd Zolkafly berkata setakat ini, pesawah di Bota dikenal pasti sebagai kumpulan terjejas akibat cuaca panas dan masalah bekalan air yang turut berpunca daripada kerosakan sebahagian pam air Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dimasuki pasir sehingga tidak dapat berfungsi dengan baik.

Beliau berkata kerajaan negeri belum menerima maklumat jika keadaan sama berlaku di kawasan lain. 

“Kerajaan negeri juga meminta agensi berkaitan termasuk Tenaga Nasional Bhd (TNB) memberi ruang pelepasan air bagi membantu menangani masalah ini dan pada masa yang sama, kita berharap JPS membaiki pam tersebut yang diselesaikan dengan baik,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Zolkafly berkata kerajaan negeri mahu memastikan pesawah tidak mengambil keputusan menukar kawasan sawah kepada tanaman lain akibat cabaran dalam sektor pertanian tersebut.

“Terdapat sebahagian pesawah kecewa dengan keadaan berkenaan ini dan masalah seperti subsidi, baja, racun dan lain-lain mesti diselesaikan supaya tiada halangan kepada mereka untuk menanam padi mengikut jadual,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement