Peranti eBraille memudahkan OKU penglihatan akses al-Quran, ilmu agama

ulkifli berucap pada majlis Penyerahan E-Braille kepada guru-guru al-Quran OKU Penglihatan di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Khamis. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Peranti eBraille keluaran anak tempatan membuka lembaran baharu dalam pengajaran al-Quran untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan, sekali gus memperluas akses mereka kepada ilmu agama dan pengetahuan.
Ringkasan AI
- Peranti eBraille keluaran anak tempatan memberi akses ilmu agama kepada golongan OKU penglihatan dengan lebih mudah dan ringan berbanding al-Quran Braille konvensional.
- Inisiatif ini diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan, yang menyatakan peranti eBraille hasil inovasi syarikat tempatan adalah langkah inovatif dan berkesan untuk guru OKU penglihatan.
- Majlis penyerahan 10 peranti eBraille telah diadakan bersama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk meningkatkan akses ilmu agama bagi golongan OKU penglihatan serta memperkukuhkan pengajaran al-Quran melalui teknologi terkini.
"Sebelum ini mereka (golongan OKU penglihatan) menggunakan al-Quran Braille itu 10 kilogram, enam jilid. Tetapi kali ini mereka hanya menggunakan peranti eBraille, hanya tidak sampai satu kilogram," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Penggunaan Peranti eBrelle dan Majlis Penyerahan Peranti eBrelle kepada Guru-Guru al-Quran OKU Penglihatan di sini pada Khamis.
Majlis itu dianjurkan bersama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan syarikat Edote Sdn Bhd.
Menurut Zulkifli, sebanyak 10 peranti eBraille diserahkan pada majlis itu dengan dua daripadanya diletakkan di Masjid Besi atau Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya dan Masjid Jamek di sini bagi meneruskan kelas kuliah menggunakan inovasi tersebut.
"Kita ingin melahirkan lebih ramai guru al-Quran yang boleh menggunakan eBraille ini supaya anak-anak OKU penglihatan ini boleh akses kepada ilmu agama dan al-Quran khususnya," katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua YADIM Datuk Hasan Bahrom dalam ucapannya berkata sebanyak 20 guru al-Quran OKU penglihatan bersama pengiring masing-masing telah menyertai bengkel berkenaan, yang bertujuan memperkasakan kaedah pengajaran al-Quran melalui teknologi terkini.
Bagi menjayakan inisiatif itu, beliau berkata sebanyak RM90,000 telah diperuntukkan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sebagai menyahut seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya agensi kerajaan memanfaatkan teknologi sepenuhnya dalam menyantuni rakyat.
"Langkah ini juga selaras dengan Pelan Tindakan Agensi Agama Bagi OKU Muslim 2024-2028 yang memberi penekanan jelas terhadap pendidikan agama serta hak OKU menunaikan ibadah sebagai Muslim.
"YADIM akan terus memperluas, memantau dan menambah baik program seumpama ini termasuk melalui kerjasama dengan media, pertubuhan bukan kerajaan serta sektor swasta. Usaha ini diharap dapat memberdayakan OKU dalam agenda pembangunan dakwah negara," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


