Kepimpinan perlu berlandas integriti, berpaksikan rakyat - PM Anwar

Anwar berkata sebagai ketua sebuah kerajaan perpaduan, beliau perlu menangani isu secara kolektif berbanding bertindak secara sendirian. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kepimpinan perlu berlandaskan integriti, komitmen menentang rasuah dan dasar ekonomi yang menangani masalah rakyat khususnya berkaitan kos sara hidup dan pendapatan.
Ringkasan AI
- Kepimpinan perlu berteraskan integriti, komitmen menentang rasuah, dan fokus pada penyelesaian masalah rakyat seperti kos sara hidup dan pendapatan.
- Perdana Menteri menekankan keperluan kepimpinan yang dekat dengan rakyat, memahami cabaran harian mereka, serta menangani isu secara kolektif sebagai pemimpin sebuah kerajaan perpaduan.
- Anwar menyorot cabaran dalam menangani individu berkuasa yang melibatkan kesalahan rasuah, sambil menegaskan kepentingan reformasi yang bijak tanpa mengabaikan keperluan asas rakyat.
"Saya bukan diktator, saya perlu menangani isu dengan baik. Saya bayangkan seorang pemimpin tidak mencari kekayaan untuk diri sendiri, mengambil elaun gaji minimum, berpendirian tegas menentang rasuah serta mempunyai program yang memberi tumpuan kepada usaha memacu pertumbuhan ekonomi," kata beliau.
Perdana Menteri berkata demikian dalam program One on One terbitan stesen penyiar Turkiye, TRT World.
Beliau berkata reformasi tidak boleh terburu-buru tanpa mengambil iktibar daripada pengalaman negara lain, sambil memberi amaran bahawa harapan rakyat boleh mendatangkan kesan sebaliknya jika isu keperluan asas diabaikan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata adalah menjadi cabaran dalam mengambil tindakan terhadap individu berkuasa yang melakukan kesalahan rasuah, kerana mereka mempunyai pengaruh besar dalam media, institusi kehakiman dan sistem penguatkuasaan.
"Saya sendiri berdepan serangan dan tuduhan termasuk dakwaan yang mempersoalkan reformasi dilakukan pada awal saya menerajui pentadbiran negara," kata beliau.
Sementara itu, Anwar berkata kerajaan baru-baru ini mengumumkan fasa kedua reformasi termasuk kebebasan maklumat, penubuhan ombudsman serta penetapan tempoh perkhidmatan jawatan Perdana Menteri.
Perdana Menteri berkata Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) pula merupakan langkah penting ke arah akauntabiliti.
"Bukan mudah untuk seorang Menteri Kewangan menyerahkan kuasa sepenuhnya kepada Parlimen, namun ia mesti dilakukan," kata beliau.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


