Stesen minyak dikenakan tindakan jual RON95 kepada kenderaan asing

KPDN Cawangan Sungai Petani telah menjalankan pemeriksaan ke atas stesen minyak terbabit susulan penularan satu rakaman video di media sosial. - Facebook Penduduk Sungai Petani
ALOR SETAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah mengesahkan berlaku aktiviti pengisian petrol RON95 ke dalam tangki kenderaan berpendaftaran asing di sebuah stesen minyak di Sungai Petani hari ini.
Pengarah KPDN Kedah Muhammad Nizam Jamaludin berkata KPDN Cawangan Sungai Petani telah menjalankan pemeriksaan ke atas stesen minyak terbabit susulan penularan satu rakaman video di media sosial.
Beliau berkata rakaman itu memaparkan seorang pekerja stesen minyak sedang mengisi petrol RON95 ke dalam tangki sebuah kereta berpendaftaran asing.
"Pemeriksaan lanjut terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) stesen minyak berkenaan mendapati video yang tular itu adalah sahih.
"Berlaku aktiviti pengisian petrol RON95 oleh pekerja stesen minyak berkenaan ke dalam tangki sebuah kenderaan berpendaftaran asing. Kejadian itu berlaku kira-kira 9.07 pagi hari ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya pasukan serbuan telah membuka kertas siasatan dan menyita resit jualan, rakaman CCTV serta dokumen berkaitan.
Muhammad Nizam berkata KPDN telah mengeluarkan arahan larangan dan kawalan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan asing pada 29 April 2025 kepada semua pengusaha stesen minyak di seluruh Kedah.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


