BALIK PULAU: Pernah menjadi mangsa sindiket pemerasan kerana melanggan pakej perkhidmatan seks secara dalam talian, seorang pemuda nekad melakukan tindakan sama bagi mengaut keuntungan sendiri.

Bagaimanapun perbuatan tersebut terbongkar selepas lelaki berusia 24 tahun itu berjaya diberkas polis di Pontian, Johor semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, penahanan lelaki itu susulan laporan polis dibuat seorang mangsa selepas dia diperas ugut suspek.

Suspek dikatakan telah memeras ugut mangsa yang cuba melanggan pakej perkhidmatan seks secara online sehingga mengalami kerugian RM450.

Kamarul Rizal berkata, siasatan mendapati suspek menjalankan aktiviti pemerasan sejak tahun 2019 hingga kini dan memperolehi wang lebih kurang RM34,000 hasil kegiatan jenayah tersebut.

"Suspek mendapat idea modus operandi tersebut kerana pernah menjadi mangsa pada tahun 2017 dan mengalami kerugian RM900."

"Suspek akan menggunakan gambar profil wanita berpakaian seksi di dalam aplikasi Mi-Chat, WhatsApp dan lain-lain aplikasi untuk menarik perhatian sasaran kononnya menawarkan perkhidmatan seks.

"Mesej perbualan antara suspek dan mangsa kemudiannya dijadikan bahan untuk peras ugut dan sekiranya enggan membuat bayaran bahan itu akan disebarkan kepada kenalan atau keluarga mangsa di aplikasi Facebook," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas sebuah telefon bimbit, sekeping kad ATM dan 28 keping kad SIM pelbagai syarikat komunikasi yang digunakan untuk tujuan pemerasan.

Ujian saringan air kencing suspek negatif namun semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau membabitkan jenayah dan narkotik.

Suspek yang tidak bekerja direman selama tiga hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

Kamarul Rizal berkata, setakat ini Polis Daerah Barat Daya berjaya menyelesaikan empat kes di negeri itu dan Selangor.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan org ramai supaya tidak menyalahgunakan media sosial bagi tujuan yang tidak bermoral dan mengundang kesalahan jenayah.