Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyifatkan peratusan 79 peratus keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil DUN Besut sebagai menepati jangkaan mereka. Timbalan SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata beliau sangat berpuas hati meskipun peratusan itu agak menurun berbanding yang dicatatkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

"Saya sangat berpuas hati dengan jumlah mereka yang keluar mengundi pada hari ini kerana harus diingatkan hari ini adalah hari bekerja dan ada sesetengah pengundi disini juga mengambil sikap untuk tidak balik ke sini untuk membuang undi," kata Wan Ahmad ketika ditemui Astro AWANI.

Menurutnya, walaupun peratusan keluar mengundi pada PRU mencatatkan 87 peratus, ianya dibuat dalam skala yang besar.

"Kehangatan PRU agak besar dan kempennya juga agak kuat hingga ke seluruh negara malah majikan juga akan memberi cuti pelepasan sedangkan PRK ini hanya satu kawasan sahaja maka disebabkan itu ada pengundi yang merasakan tiada perlunya mereka untuk pulang ke sini. PRK ini kadang-kadang ada penduduk yang tidak begitu memberi tumpuan," katanya lagi.

Beliau merasakan peratusan 79 peratus jumlah orang keluar mengundi itu merupakan satu prestasi yang baik.