Skip to main content

Malaysia

Perbahasan LKAN bukti tiada ketirisan disorok - Azalina

KUALA LUMPUR, 28 Jan -– Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said ketika sidang media pada Konvensyen Mengenai Keadilan Jenayah Dan Pembaharuan Undang-Undang, Keadilan Jenayah Dalam Zaman Baharu di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Azalina berkata, fungsi Jabatan Audit Negara bukan sahaja menumpukan kepada audit kewangan, tetapi juga aspek pematuhan kepada peraturan dan prinsip tadbir urus, bagi mengelak sebarang penyelewengan termasuk rasuah, ketirisan dan kecuaian.

KUALA LUMPUR: Perbahasan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) di Dewan Rakyat bukan sekadar prosedur formal, sebaliknya mencerminkan komitmen kerajaan terhadap keterbukaan, semak dan imbang serta tadbir urus berintegriti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said menjelaskan bahawa semua dapatan dan teguran dalam LKAN akan diteliti dan tindakan pembetulan diambil apabila perlu.

Advertisement

Dalam pada itu, beliau berkata, audit sehingga 31 Disember 2025 berjaya mengembalikan RM316.68 juta kepada kerajaan.

“Jumlah ini termasuk kutipan hasil melalui penalti, bayaran sewa tertunggak, ganti rugi tertentu, tunggakan pajakan tanah, serta kutipan duti dan cukai yang telah ditetapkan,” kata Azalina ketika membentangkan usul LKAN 1/2026 di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau menegaskan bahawa perbahasan yang telus dan terbuka adalah penting untuk memastikan tadbir urus yang baik.

“Perbahasan ini bukan tanda kelemahan kerajaan, tetapi bukti bahawa tiada apa yang disorok dan usaha ini memperkukuh keyakinan rakyat,” katanya.

Menurut Azalina, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan semua menteri meneliti isu ketirisan, ketidakpatuhan peraturan, pelanggaran syarat, dan kelemahan perancangan yang dibangkitkan dalam laporan, serta memastikan tindakan pembetulan dilaksanakan segera.

Beliau menambah bahawa LKAN perlu terus dibahaskan di Parlimen supaya semua pihak memberi perhatian serius terhadap setiap isu yang diketengahkan.

“Ini juga sebahagian daripada usaha kerajaan meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pengurusan agensi awam,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa mandat Ketua Audit Negara diperuntukkan di bawah Perkara 106 dan 107 Perlembagaan Persekutuan serta Akta Audit 1957, yang menghendaki audit dijalankan terhadap penyata kewangan, pengurusan kewangan dan operasi kementerian, jabatan, serta agensi kerajaan.

Beliau berkata fungsi Jabatan Audit Negara bukan sahaja menumpukan kepada audit kewangan, tetapi juga aspek pematuhan kepada peraturan dan prinsip tadbir urus, bagi mengelak sebarang penyelewengan termasuk rasuah, ketirisan dan kecuaian.

Sehingga kini, LKAN telah dibahaskan sebanyak tujuh kali di Dewan Rakyat, menunjukkan kesungguhan Parlimen bukan sekadar menerima laporan tetapi memahami, menilai, dan memberi pandangan terhadap setiap dapatan, kata Azalina.

Beliau juga menyentuh pencapaian Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2025, yang menempatkan negara di kedudukan ke-54 daripada 182 negara.

“Peningkatan ini hasil daripada reformasi struktur secara konsisten oleh kerajaan Malaysia MADANI, termasuk penggubalan Akta Kewangan dan Tanggungjawab Fiskal 2023, pindaan Akta Audit 1957, Akta Perolehan Kerajaan 2025, serta pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan Akta Syarikat 2016,” katanya.

Must Watch Video