Skip to main content

Malaysia

Perbelanjaan pertahanan didorong ancaman baharu, bukan sekadar dinamik serantau

KOTA TINGGI, 13 Jun -- Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bercakap kepada pemberita selepas hadir Program Jiwa Murni (PJM) MADANI KEMENTAH di Sekolah Kebangsaan Johor Kampong hari ini._BERNAMA
Keperluan untuk perbelanjaan pertahanan yang lebih tinggi bukan hanya didorong oleh dinamik serantau tetapi juga oleh ancaman yang muncul, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. - Gambar fail/BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Keperluan untuk perbelanjaan pertahanan yang lebih tinggi bukan hanya didorong oleh dinamik serantau tetapi juga oleh ancaman yang muncul, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata beberapa perkembangan telah mengubah pendekatan kerajaan terhadap dasar dan perbelanjaan pertahanan termasuk kemunculan cabaran seperti ancaman siber dan elektromagnet serta penyebaran maklumat palsu secara besar-besaran.

Beliau berkata dalam landskap keselamatan serantau, isu berkenaan perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas, iaitu ketidaktentuan geopolitik yang semakin meningkat serta perubahan persekitaran keselamatan.

“Ini bukan bermaksud Malaysia secara tiba-tiba melihat mana-mana negara tertentu sebagai ancaman, tetapi jelas terdapat peningkatan aktiviti dan kehadiran tentera di rantau ini, terutamanya apabila persaingan strategik antara kuasa besar semakin meningkat.

“Apabila satu pihak meningkatkan kehadiran atau keupayaannya, lumrah untuk pihak lain bertindak balas sewajarnya. Ini mewujudkan persekitaran keselamatan yang lebih kompleks bagi negara seperti Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia memerlukan tambahan peruntukan pertahanan yang berpotensi mencecah ratusan juta hingga berbilion ringgit bagi memastikan negara mempunyai aset dan keupayaan mencukupi untuk menangani persekitaran keselamatan yang semakin kompleks.

Mohamed Khaled berkata kemungkinan berlaku salah faham atau insiden kecil meningkat menjadi sesuatu yang lebih serius pasti meningkat apabila lebih banyak aset ketenteraan beroperasi dalam ruang geografi yang agak terhad.

Berhubung perkembangan di selatan Filipina termasuk kawasan berhampiran dengan Sabah, beliau berkata walaupun sesuatu insiden tidak melibatkan Malaysia secara langsung, ketegangan di kawasan itu boleh membawa implikasi lebih luas kepada keselamatan negara dan kestabilan di Laut China Selatan.

Pada masa yang sama, beliau berkata Malaysia menghormati hak Filipina untuk menentukan pengaturan dan perkongsian pertahanannya berdasarkan keperluan keselamatan negara itu.

“Malaysia mengekalkan hubungan baik dengan Filipina dan penting untuk kita terus mempunyai komunikasi terbuka bagi menguruskan sebarang kemungkinan salah faham,” katanya.

Mohamed Khaled menegaskan kerajaan tidak mahu perkembangan serantau digambarkan sebagai Malaysia memilih pihak kerana keutamaan adalah mengekalkan kestabilan serantau dan memastikan persaingan strategik antara kuasa besar tidak menimbulkan kesan tidak diingini kepada negara ASEAN.

Beliau berkata Malaysia akan terus memperkukuh kesiapsiagaan pertahanannya sendiri yang tidak ditujukan terhadap Filipina, Amerika Syarikat, China atau mana-mana negara lain.

Pemodenan Angkatan Tentera Malaysia, menurut beliau telah lama menjadi sebahagian daripada perancangan pertahanan negara dan hasrat untuk meningkatkan perbelanjaan pertahanan secara berperingkat kepada 1.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030 perlu difahami dalam konteks tersebut.

“Kami juga memperkukuh keupayaan di kawasan yang penting secara strategik kepada Malaysia termasuk Pulau Layang-Layang. Sekali lagi, ini mengenai pertahanan negara dan kepentingan nasional, bukannya bertindak balas atau menyasarkan mana-mana negara tertentu,” katanya.

Mohamed Khaled berkata kerajaan mengambil dua pendekatan, iaitu mengekalkan keupayaan yang mencukupi untuk melindungi kedaulatan dan kepentingan negara dan pada masa yang sama memperjuangkan kestabilan, dialog dan diplomasi.

Mengenai Laut China Selatan, beliau berkata semua pihak perlu terus mengamalkan kawalan diri dan mengelakkan tindakan yang boleh membawa kepada ketegangan serta menambah kemajuan dalam Kod Tatakelakuan (CoC) adalah penting untuk persekitaran yang dapat diramal.

“Malaysia akan terus menyokong Kepusatan ASEAN (ASEAN Centrality) dan pendekatan ASEAN yang menyediakan ruang untuk dialog walaupun terdapat perbezaan dan tuntutan yang bertindih. Kami mahu rantau ini kekal stabil, terbuka dan aman. Itu tetap menjadi keutamaan kami,” katanya. 

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement