Prosiding perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang bermula hari ini ditangguhkan pada Isnin depan.

Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah memaklumkan penangguhan itu dibuat selepas mendengar hujah kedua pihak dan mempertimbangkan alasan yang diberi.

BACA: Adakah kes 1MDB dihadapi Najib bermula Isnin?

Pihak pendakwaan pada asalnya meminta penangguhan dan mencadangkan 3 September depan sebagai tarikh bicara kes 1MDB dengan alasan masih belum menyelesaikan beberapa isu pendakwaan.


Ia termasuk pihak pendakwaan masih belum memberi kenyataan saksi kepada 12 orang kerana masalah pengurusan.

Peguam kanan Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah juga menyokong tarikh 3 September itu.

Tarikh lain yang ditetapkan untuk perbicaraan kes 1MDB ialah sepanjang September, Oktober dan dua minggu pertama November dengan setiap hari Jumaat ditetapkan tiada perbicaraan.

Skandal mega yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri yang juga bekas menteri kewangan berhubung salah guna wang negara itu mencuri tumpuan dunia sejak dilaporkan media pada 2015.

Skandal itu juga dikatakan menjadi faktor utama tumbangnya pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada PRU 9 Mei tahun lalu.