KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa bekas peguam 1MDB Jasmine Loo Ai Swan akan dipanggil memberi keterangan dalam kes itu.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata pihak pendakwaan bercadang untuk memanggil Loo selepas mengambil kira keterangan Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram ACP Foo Wei Min, yang mempunyai kaitan dengan wanita itu (Loo).

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata perkembangan ini adalah suatu yang baharu.

Pada 16 Nov, Foo memberi keterangan bahawa Loo akan menjadi saksi penting untuk mendedahkan semua isu mengenai Tanore Finance Corporation, sebuah entiti yang telah memindahkan AS$681 juta ke dalam akaun peribadi Najib dan dikatakan dikawal oleh rakan kepada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, Eric Tan Kim Loong.

Foo juga bersetuju dengan cadangan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib bahawa keterangan Loo boleh sama ada membawa kesan buruk atau membebaskannya dari segi isu yang berkaitan dengan operasi Tanore.

Foo turut memberi keterangan bahawa Loo adalah pembantu peribadi kepada Jho Low.

Pada 12 Julai, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan Loo ditahan polis pada 7 Julai bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana 1MDB.

Pada prosiding hari ini, Muhammad Shafee memaklumkan mahkamah bahawa beliau masih perlu menyoal balas saksi pendakwaan ke-46 iaitu bekas Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, dan bekas Ketua Pegawai Kewangan 1MDB Azmi Tahir.

"Yang Arif, saya akan menyoal balas kedua-dua mereka (Zeti dan Azmi) selepas saya menyoal pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nur Aida Arifin," kata Muhammad Shafee.

Seperti yang dilaporkan minggu lepas, Nur Aida masih dikuarantin selepas dijangkiti virus COVID-19 dan perbicaraan hari ini hanya mendengar keterangan penganalisis BNM Adam Ariff Mohd Roslan.

Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan bersambung 2 Jan 2024.

-- BERNAMA