Skip to main content

Malaysia

Perbicaraan kes Muhyiddin Yassin bermula hari ini

71757402103_TBMuhyiddin.jpg
Muhyiddin hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk menghadiri prosiding perbicaraan di Mahkamah Tinggi berhubung pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram yang bermula hari ini. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini, pagi ini untuk menghadiri prosiding perbicaraan di Mahkamah Tinggi berhubung pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram yang bermula hari ini.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu tiba sekitar jam 8.40 pagi dengan menaiki kenderaan jenis Toyota Alphard. 

Advertisement

Beliau ditemani isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta beberapa pemimpin parti termasuk Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Perbicaraan yang berlangsung di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin dijangka dimulakan dengan kenyataan pembukaan oleh pihak pendakwaan yang akan menjelaskan butiran pertuduhan serta bukti yang akan dikemukakan terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan dijangka memanggil sehingga 30 saksi untuk memberi keterangan. Prosiding ditetapkan berlangsung pada 9 hingga 11 Mac, diikuti 13, 16, 28 dan 29 April, 25 dan 26 Mei; 6 hingga 10 Julai, 13 hingga 17 Julai serta 27 hingga 29 Julai; selain 7, 18 hingga 21 serta 26 dan 27 Ogos tahun ini.

Muhyiddin, 79, didakwa pada 2023 atas tujuh pertuduhan yang merangkumi empat dakwaan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan program Jana Wibawa.

Beliau dituduh menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM232.5 juta bagi pihak Bersatu daripada syarikat Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd serta seorang individu, Azman Yusoff.

Suapan yang didakwa itu dikaitkan dengan pelaksanaan Jana Wibawa, iaitu inisiatif kerajaan yang diperkenalkan semasa pandemik COVID-19 bagi membantu kontraktor Bumiputera meneruskan perniagaan.

Selain itu, Muhyiddin turut menghadapi tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM200 juta yang didakwa diterima daripada Bukhary Equity sebelum dimasukkan ke dalam akaun BERSATU di AmBank dan CIMB Bank.

Must Watch Video