Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) akan terus komited melaksanakan projek perumahan mampu milik di negeri itu walaupun berdepan kekangan seperti kenaikan kos tanah dan bahan mentah.

Timbalan Pengurus Besar Pembangunan PERDA Rosman Hashim berkata komitmen itu tidak berubah walaupun PERDA hanya meraih keuntungan kecil iaitu bawah lima peratus berbanding syarikat lain yang meraih keuntungan hampir 20 peratus.

"Usaha ini selaras dengan tanggungjawab sosial PERDA iaitu mahu membantu penduduk memiliki rumah pada harga mampu milik dan mengelakkan mereka daripada berpindah keluar dari negeri ini.

"Kami sedaya upaya akan membina rumah yang lebih murah berbanding harga pasaran kediaman yang ditawarkan di Pulau Pinang...ini adalah untuk kepentingan rakyat negeri ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat cadangan pembangunan perumahan bercampur Sungai Bakap, di sini pada Isnin.

Projek tiga fasa itu akan bermula tahun depan dengan pembinaan 72 unit rumah kluster kos rendah, 112 unit rumah teres dua tingkat kos sederhana dan lima unit kedai serta pejabat melibatkan kos keseluruhan RM75 juta.

Rosman berkata rumah kluster kos rendah itu dijual bermula pada harga RM33,000 hingga RM42,000 dan orang ramai yang berminat boleh mendaftar nama di Bahagian Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) bermula Isnin.

Beliau berkata rumah teres kos sederhana pula dijual bermula pada harga RM295,000 manakala ruang kedai dan pejabat dijual bermula dari harga RM400,000 iaitu di bawah paras harga pasaran.

Mengulas mengenai keuntungan kecil yang diperoleh, Rosman berkata pihaknya akur dengan hakikat itu namun pada masa sama berharap pihak berkuasa tempatan tidak menaikkan pelbagai caj lain kerana tujuan pembinaannya adalah untuk membantu rakyat berpendapatan rendah.

"Perubahan caj perparitan baharu yang diperkenalkan oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) awal tahun ini iaitu daripada RM10,000 kepada RM50,000 bagi setiap 0.4 hektar turut menyebabkan perbelanjaan meningkat selain kenaikan kos bahan mentah," katanya.