KUALA LUMPUR: Terdapat potensi amat besar yang belum dimanfaatkan sepenuhnya dalam perdagangan dan pelaburan antara Turkiye dan Malaysia.

Duta Republik Turkiye ke Malaysia Emir Salim Yuksel berkata Malaysia adalah rakan dagangan terbesar Turkiye di ASEAN dengan jumlah perdagangan sebanyak US$4.7 bilion (US$1=RM4.51) pada 2022, pertumbuhan 35 peratus dari 2021.

Beliau berkata sektor ekonomi yang berbeza antara Turkiye dan Malaysia menjadi pelengkap antara satu sama lain yang terdiri daripada perniagaan angka lepas hinggalah kepada pembinaan.

"Kita telah meningkatkan perkongsian kita pada Julai lepas daripada perkongsian strategik kepada kajian yang lebih padu, yang bermakna kita perlu mengukuhkan lagi hubungan kira, setiap butiran dan setiap perkara," katanya kepada Bernama di luar acara Mesyuarat Perniagaan-kepada-Perniagaan (B2B) dan Delegasi Perdagangan Turkiye-Malaysia Kuala Lumpur 2023, di sini, hari ini.

Malaysia dan Turkiye memeterai Perjanjian Perdagangan Bebas (MTFTA), yang berkuat kuasa pada 1 Ogos, 2015.

Pengembangan skop MTFTA pada September tahun lepas bagi memasukkan perdagangan dalam perkhidmatan, pelaburan dan e-dagangan merupakan satu lagi pencapaian besar dalam kerjasama ekonomi Malaysia-Turkiye.

Mengenai sektor yang perlu diberi tumpuan, Yuksel berkata, industri Malaysia perlu memberi lebih perhatian kepada industri Turki terutamanya produk makanan serta pelbagai jenis pengeluaran industri, yang boleh memberi manfaat kepada industri Malaysia berikutan harganya yang kompetitif.

Sementara itu, dalam ucapan alu-aluannya, timbalan ketua setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Induteri (perdagangan) Hairil Yahri Yaacob berkata Turkiye kekal sebagai satu daripada rakan dagangan penting Malaysia di rantau Asia Barat.

Beliau berkata pada 2022, Turki merupakan rakan dagang serta destinasi eksport terbesar Malaysia dan sumber import keenam paling utama di kalangan negara Asia Barat.

Angka eksport Malaysia ke Turki pada 2022 mencacah paras RM17.39 bilion, yang sebahagian besarnya terdiri daripada minyak sawit, produk pertanian berasaskan minyak sawit, pembuatan logam, tekstil, pakaian, kasut, produk elektrik dan elektronik serta produk perkilangan berasaskan minyak sawit.

Jumlah import pada 2022 direkodkan sebanyak RM2.86 bilion yang merangkumi produk petroleum, barang kemas, produk besi dan keluli, kimia dan produk kimia , tekstil, pakaian serta kasut.

"Lokasi strategik termasuk hubungan perdagangan yang disediakan oleh keanggotaan kami di bawah pelbagai set perjanjian perdagangan bebas yang telah mula berkuat kuasa dan dilaksanakan menjadikan hubungan perdagangan dua hala Malaysia-Turki berkembang melangkaui sektor-sektor ini.

"Asas yang kukuh ini sudah pasti akan merancakkan lagi perkongsian ekonomi dua hala yang disokong oleh aspirasi ekonomi kita bersama," katanya.

Hairil Yahri berkata dengan MTFTA memasuki tempoh matang tahun ini, ia akan menjadi satu lagi rangsangan bagi hubungan perdagangan Malaysia-Turki dengan kira-kira 99 peratus daripada eksport Turki yang memasuki Malaysia akan menerima layanan bebas cukai manakala hampir 86 peratus daripada eksport Malaysia ke Turki akan menikmati manfaat yang sama di bawah MTFTA.

"Kadar tarif keutamaan yang sangat menarik ini perlu dimanfaatkan oleh komuniti perdagangan dan sewajarnya, diambil kesempatan.

"Saya teruja untuk berkongsi daripada permulaan kuat kuasa MTFTA pada 2015 hingga 2022, kadar purata pertumbuhan tahunan perdagangan dua hala adalah 34 peratus, menunjukkan bahawa masih terdapat banyak ruang bagi komuniti perdagangan memanfaatkan MTFTA," katanya.

Beliau berkata 2023 dijangka menimbulkan cabaran yang lebih tinggi kepada ekonomi global, terutamanya dengan isyarat kemungkinan kelembapan ekonomi atau kemelesetan dalam kalangan ekonomi utama dunia.

Hairil Yahri berkata, Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan, akan terus memastikan perdagangan dan pelaburan kekal sebagai pemacu utama untuk mengekalkan trajektori pertumbuhannya, memulihkan keyakinan pelabur untuk meningkatkan pelaburan langsung asing dan meneruskan komitmennya dalam sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan walaupun mendepani cabaran yang sukar.

Dari segi pelaburan, beliau berkata, sebanyak empat projek membabitkan Turkiye telah dilaksanakan di Malaysia dengan jumlah pelaburan bernilai RM436.9 juta.

"Syarikat Turkiye dialu-alukan untuk mengembangkan pelaburan mereka di Malaysia melalui perkongsian untuk perkhidmatan pembuatan kontrak secara penyumberan luar, menggunakan kemudahan rakan kongsi sebagai hab pengedaran, pusat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih di rantau ini dan perkhidmatan penyetempatan dalam industri seperti kandungan multimedia dan kreatif serta perkhidmatan ICT," katanya.

Sementara itu, beliau berkata peningkatan dalam penggunaan e-dagang untuk meningkatkan akses pasaran telah menyebabkan semakin banyak syarikat mengambil pendekatan pemasaran 'omnichannel', yang menyasarkan jangkauan pelanggan yang lebih luas.

Beliau berkata syarikat Turkiye boleh mempertimbangkan platform seperti Shopee dan Lazada di Malaysia manakala syarikat Malaysia pula boleh menggunakan e-dagang Turkiye, Hepsiburada untuk memasarkan produk terus kepada pengguna.

Hairil Yahri berkata sektor halal juga merupakan saluran yang berpotensi untuk mengembangkan hubungan perdagangan kedua-dua negara.

Beliau berkata Malaysia berhasrat untuk menjadi hab halal global dan percaya ia telah membangunkan ekosistem halal yang diperlukan bagi mencapai matlamat ini.

"Sehubungan itu, perniagaan Turkiye dijemput untuk mengambil bahagian dalam Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS), yang akan berlangsung di Kuala Lumpur dari 12 hingga 15 Sept tahun ini.

"Saya percaya MIHAS menawarkan peluang keemasan kepada pemain industri dan pemimpin kerajaan untuk bekerjasama mengenai cara memaksimumkan potensi sektor ekonomi global yang rancak dan berkembang ini," tambahnya.

-- BERNAMA