NEW YORK: Inflasi, pandemik COVID-19, krisis di Myanmar dan konflik antara Ukraine dan Rusia antara isu yang bakal diketengahkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-77 (UNGA77) di sini.

Perdana Menteri akan membuat penampilan pertama beliau secara fizikal di atas pentas berprestij Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas ucapannya disampaikan menerusi rakaman video tahun lepas berikutan pandemik COVID-19.

Menurut Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah, ucapan dalam Bahasa Melayu itu akan disampaikan pada petang 23 Sept waktu tempatan sebagai sebahagian daripada sesi debat umum yang berlangsung dari 20 hingga 26 Sept.

“Oleh kerana dunia masih dalam proses pemulihan daripada COVID-19, tentulah ini merupakan sebahagian daripada perkara yang akan ditekankan oleh beliau.

“Ini termasuklah soal bagaimana kita harus memulihkan ekonomi negara kita dan juga sebagai warga dunia, penglibatan kita dalam perkara-perkara mustahak, sebahagiannya melibatkan kita juga seperti inflasi dan keselamatan makanan,” jelas Saifuddin pada satu sidang media di sini pada Selasa.

BACA: Perdana Menteri ketuai delegasi Malaysia ke UNGA ke-77 

Sesi debat umum UNGA77 menyaksikan ucapan oleh pemimpin-pemimpin dunia seperti Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan pada Selasa dan Presiden Amerika Syarikat Joe Biden pada Rabu.

Malah, Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy tidak terasing daripada perhimpunan di pentas UNGA apabila beliau bakal berucap menerusi rakaman video pada Rabu selepas majoriti negara anggota PBB bersetuju membenarkannya menyampaikan ucapan.

Saifuddin menyifatkan tema yang ditetapkan pada tahun ini iaitu ‘Detik Peralihan: Penyelesaian Transformatif kepada Cabaran Bersaling Kait’ amat sesuai dengan situasi semasa ketika dunia menangani pelbagai permasalahan dan cabaran getir.

Di samping sesi debat umum UNGA77, Perdana Menteri turut dijadual mengadakan pertemuan dua hala bersama rakan-rakan sejawat sepanjang lawatan selama tiga hari di New York.

Pertemuan empat mata akan diadakan bersama Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif, Presiden Palestin Mahmoud Abbas dan Perdana Menteri Belanda Mark Rutte.

Beliau turut akan bermesyuarat dengan Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres, sebelum lawatannya diakhiri dengan majlis makan malam bersama diaspora Malaysia di bandar ini.