KUALA LUMPUR: Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) memperkenalkan Teras Strategik M.E.N.H.A.N sebagai panduan utama warganya dalam usaha mentransformasikan jabatan itu menjadi sebuah “kilang pembangunan karakter” bagi generasi muda.
Ketua Pengarah JLKN, Mej Jen Datuk Marzuki Mokhtar berkata, teras strategik itu diperkenalkan bagi melahirkan modal insan yang berdisiplin, berintegriti serta berdaya tahan di samping memberi fokus kepada usaha memperkukuh integrasi nasional, perpaduan dan patriotisme demi kedaulatan negara.
Beliau berkata, teras berkenaan merangkumi Motivasi (M), Etika (E), Nilai (N), Harapan (H), Aspirasi (A) dan Negarawan (N).
"Warga JLKN perlu membudayakan semangat kerja yang tinggi, proaktif dan berorientasikan misi nasional, di samping menjadikan integriti serta tadbir urus baik sebagai asas organisasi tanpa sebarang kompromi terhadap salah laku," katanya menerusi video amanat selaku Ketua Pengarah JLKN pada Rabu.
Marzuki berkata, penghayatan nilai-nilai murni seperti disiplin, perpaduan dan tanggungjawab merupakan elemen penting dalam pembentukan jati diri pelatih, sekali gus memperkukuh peranan JLKN sebagai institusi yang menyediakan hala tuju jelas serta menyemai keyakinan dalam kalangan belia untuk menghadapi masa depan.
Beliau turut menekankan kepentingan aspek modenisasi jabatan melalui inovasi dan teknologi digital agar program latihan yang dijalankan sentiasa kekal relevan serta diiktiraf di peringkat global.
Dalam pada itu, beliau menyeru seluruh warga jabatan itu untuk menterjemahkan teras M.E.N.H.A.N dalam setiap tindakan, memperkukuh kerjasama profesional serta sentiasa mengutamakan keselamatan dan kebajikan para pelatih.
-- BERNAMA