SINGAPURA: Kerjasama yang semakin mendalam dalam bidang Penyelesaian Pertikaian Alternatif (ADR) antara Singapura dan Malaysia menyerlahkan hubungan kukuh antara komuniti undang-undang serta penyelesaian pertikaian kedua-dua negara, kata Menteri Undang-Undang dan Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri Singapura, Edwin Tong.
Langkah memperkukuh kerjasama itu dimeterai secara rasmi pada Rabu menerusi pemeteraian dua memorandum persefahaman (MOU) melibatkan Pusat Timbang Tara Antarabangsa Singapura (SIAC) dan Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), serta antara Pusat Perantaraan Antarabangsa Singapura (SIMC) dan AIAC.
Tong berkata, MOU berkenaan turut mencerminkan komitmen bersama untuk menyediakan saluran yang dipercayai, cekap dan berkesan kepada perniagaan serta pelabur bagi menyelesaikan pertikaian.
"Memandangkan perdagangan dan pelaburan rentas sempadan terus berkembang, kerjasama antara institusi penyelesaian pertikaian menjadi semakin penting.
"Perkongsian ini akan mewujudkan lebih banyak peluang untuk pertukaran, perkongsian pengetahuan dan inisiatif bersama, di samping memperkasakan ekosistem penyelesaian pertikaian di rantau ini," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Majlis menandatangani MOU itu disaksikan oleh Tong dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said selepas pertemuan mereka di Putrajaya.
MOU berkenaan merupakan susulan daripada perbincangan antara kedua-dua menteri di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Undang-Undang Komanwel di Fiji pada Februari 2026, yang menyaksikan mereka meneroka langkah memperdalam kerjasama dua hala dalam perkhidmatan penyelesaian pertikaian.
"Pada pertemuan hari ini, Tong dan Azalina mengesahkan hubungan rapat dan berkekalan antara Singapura dan Malaysia.
"Mereka membincangkan perkara yang membawa kepentingan bersama, termasuk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, Konvensyen Singapura mengenai Perantaraan serta pengukuhan hubungan antara rakyat dengan rakyat," menurut Kementerian Undang-Undang Singapura.
-- BERNAMA