HULU LANGAT: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terpaksa membatalkan ibadah umrah beliau yang dijadualkan 1 Januari ini susulan bencana banjir yang melanda negara ketika ini.

Dalam masa yang sama juga katanya, hampir kesemua menteri-menteri Kabinet yang berada di luar negara kini telah kembali ke tanah air.

"Mereka kini sudah balik tapi kita tak benarkan keluar disebabkan mereka perlu menjalani kuarintin.

"Saya sendiri terpaksa batalkan umrah yang sepatutnya pergi 1 Januari ini," jelasnya pada sidang media yang diadakan di Masjid Kampung Dusun Tua, Hulu Langat tengah hari tadi.

Katanya lagi, ada dalam kalangan menteri yang telah berada di luar negara membatalkan cuti mereka, tetapi masih tidak dapat pulang ke tanah air kerana ketiadaan penerbangan.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Banjir: 'Kami cuba untuk bangkit' - Penduduk

Terdahulu, Perdana Menteri mengeluarkan arahan menteri Kabinet yang sedang atau merancang bercuti supaya membatalkan cuti mereka sehingga bencana banjir yang melanda negara ketika ini selesai.

Ia disusuli Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali mengarahkan semua Ketua Setiausaha setiap kementerian serta Ketua Pengarah setiap jabatan dan agensi yang sedang bercuti dan merancang untuk bercuti membatalkan percutian masing-masing, berkuat kuasa serta-merta.

Dalam sidang media itu juga perdana menteri turut mengumumkan beberapa peruntukan khas bagi meringankan beban mangsa-mangsa banjir.