PUTRAJAYA:Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan akan menjalani kuarantin kendiri di kediaman beliau selama 14 hari mengikut nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dalam satu kenyataan hari ini, Perdana Menteri, berkata, keputusan itu diambil susulan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri disahkan positif COVID-19 hari ini.

Muhyiddin berkata, beliau telah mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) di Putrajaya pada 3 Oktober lalu dan Dr Zulkifli merupakan salah seorang yang menghadiri sesi berkenaan.

“Berdasarkan penilaian risiko yang dilakukan oleh KKM, mereka yang dikenal pasti kontak rapat semasa mesyuarat ini telah diberikan surat perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) selama 14 hari dari tarikh 3 Oktober 2020 dan dipakaikan gelang pengawasan.

“Ahli mesyuarat yang bukan merupakan kontak rapat pula dinasihatkan menjalani kuarantin kendiri (self-quarantine) selama 14 hari bermula 3 Oktober hingga 16 Oktober dan memantau status kesihatan kendiri (self-health monitoring) di rumah setiap hari menggunakan home assessment tool (HAT) dalam aplikasi MySejahtera,” katanya lagi.

BACA: Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri positif COVID-19

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, perintah kuarantin kendiri yang beliau jalani tidak akan mengganggu urusan kerajaan.

Menurut Perdana Menteri, beliau akan terus bekerja dari rumah dan menggunakan sidang video bagi mesyuarat yang penting.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, saya juga melakukan ujian saringan pengesanan COVID-19 (ujian swab) setiap dua minggu sejak bulan April 2020 dan kesemua ujian pengesanan ini telah disahkan NEGATIF.

“Selain itu, saya telah melakukan tiga (3) ujian pengesanan COVID-19 dalam tempoh tiga minggu lalu iaitu pada 22, 26 dan 29 September 2020 dan didapati negatif,” kata Muhyiddin lagi.