SUNGAI BULOH: Lelaki warga asing yang terlibat dalam pergaduhan di sebuah restoran makanan segera di Bukit Bintang, Ahad lepas, disiasat mengikut Seksyen 507A Kanun Keseksaan, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid.

Beliau berkata lelaki berusia 33 tahun itu, disiasat berikutan laporan polis yang dibuat oleh pengurus restoran berkenaan, yang mendakwa lelaki tersebut telah melakukan gangguan seksual terhadap beliau.

"Polis juga telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan (merusuh) terhadap kejadian pergaduhan berkenaan, yang melibatkan empat pekerja restoran berkenaan dan lelaki warga asing itu.

"Kes itu kini sedang dalam siasatan dan warga asing berkenaan telah direman sejak hari kejadian sehingga Jumaat ini, manakala empat lelaki yang lain dibebaskan dengan jaminan polis semalam," katanya.

Allaudeen berkata demikian dalam sidang media selepas membuat tinjauan di pusat respons asas kecemasan awal menerusi Rapid KL Safety Point (RSP) di sini, hari ini.

Sementara itu, Allaudeen berkata kertas siasatan berhubung perhimpunan anjuran beberapa badan bukan kerajaan di hadapan Istana Negara pada 22 Jan lepas, telah dilengkapkan dan diserahkan kepada pejabat Peguam Negara minggu lepas.

Beliau berkata sebarang keputusan sama ada penganjur himpunan itu didakwa atau tidak, bergantung kepada penilaian pejabat Peguam Negara.

Dalam pada itu, mengulas mengenai tinjauan berkenaan Allaudeen berkata ia bertujuan untuk melihat tahap keselamatan pengguna transit aliran ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT) di ibu kota, terutamanya ketika musim cuti dan waktu puncak.

Beliau berkata orang ramai tidak perlu risau dengan tahap keselamatan ketika menggunakan pengangkutan awam berkenaan, kerana Prasarana Malaysia Berhad sebagai operator perkhidmatan berkenaan mempunyai polis bantuan yang mencukupi, untuk memastikan pengguna selamat.

"Selain itu sejak 2022, kita juga mempunyai RSP di lapan stesen LRT dan MRT terpilih, orang ramai yang mengalami kecemasan sama ada berkaitan kesihatan atau keselamatan dan jenayah boleh terus ke RSP ini, untuk mendapatkan bantuan," katanya.

Allaudeen berkata lapan stesen berkenaan ialah Stesen MRT Kampung Batu, Stesen LRT dan MRT Pasar Seni, Stesen LRT Masjid Jamek (Laluan Kelana Jaya dan Laluan Ampang), Stesen LRT KL Sentral, Stesen LRT KLCC dan Stesen MRT Bukit Bintang.

-- BERNAMA