SHAH ALAM: Polis membuka kertas siasatan berhubung perhimpunan membantah keputusan kerajaan menarik balik rayuan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung penggunaan kalimah Allah yang diadakan berhampiran Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah selepas solat Jumaat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superitendan Ramsay Anak Embol berkata, polis akan memanggil mereka yang terlibat dalam perhimpunan itu untuk direkodkan keterangan.

"Kita sedang dalam proses kenal pasti, kita akan panggil mereka dalam masa terdekat," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.

Menurut Ramsay, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 9(5) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, Ramsay memaklumkan, pihaknya tidak menerima sebarang permohonan daripada mana-mana pihak untuk mengadakan perhimpunan itu.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum ini menarik balik rayuan berhubung keputusan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama bagi tujuan pendidikan.

Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya, pada 18 April lalu.