Astro AWANI melalui #MalaysiaMemilh mengikuti rapat pergerakan Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Najib Tun Razak sepanjang tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang bermula pada 28 April lepas, sebelum tirai dilabuhkan pada 9 Mei ini.

Ini termasuk bagaimana gerak kerja beliau sewaktu di tempat yang boleh dikatakan kritikal seperti Bandar Tun Razak, Wangsa Maju dan Lembah Pantai di Lembah Klang, Sungai Siput di Perak, Pulau Langkawi di Kedah, membawa ke kubu kuat beliau sendiri di Pekan, Pahang.

Astro AWANI turut melihat sama ada apa jua yang disampaikan beliau melalui laman media sosialnya seperti Facebook, Twitter dan Instagram. Ada keberkesanannya ataupun tidak?



“Bagaimana Langkawi?” soal penulis kepada seorang rakan wartawan yang juga merupakan seorang yang senior di dalam industri media ini.

“2-1, atau 1-1-1,” ujarnya ringkas sambil menerangkan ‘2-1’ itu membawa erti Barisan Nasional akan mengekalkan dua kerusi Dewan Undangan Negeri di Pulau Mahsuri itu iaitu N.01 Ayer Hangat, dan N.02 Kuah, manakala P.004 Langkawi akan jatuh ke tangan seteru utama Datuk Seri Najib, iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad yang bertanding di bawah payung Parti Keadilan Rakyat (PKR).

‘1-1-1’ pula, katanya, sama ada satu DUN kekal di tangan BN, satu DUN di bawah Pas, dan Parlimen di bawah PKR, dan tambahnya lagi, Pas nampak agak dominan di N.02 Kuah.

Kedatangan Datuk Seri Najib ke Langkawi adalah sehari selepas seteru utamanya kali ini, Tun Dr Mahathir Mohamad menjejakkan kaki ke kawasan Parlimen yang telah Presiden UMNO itu pegang selama lebih sepuluh penggal, iaitu Pekan sendiri.

Ia diibarat panglima angkatan tentera yang masing-masing ingin menunjukkan kegagahan dan keberanian, siapa yang berani bertandang di tempat lawan.

BACA: Jangan cari pasal dengan Pendekar Bugis, kata PM Najib

Di Langkawi, walaupun hanya sehari beliau berada di situ, Datuk Seri Najib bukan datang dengan tangan kosong.

Sebaliknya dalam ucapan di hadapan kira-kira 1,000 penggiat industri pelancongan Langkawi di Dewan Pameran Antarabangsa Mahsuri, beliau membentangkan 18 inisiatif bernilai berbilion ringgit, khusus untuk melonjakkan lagi pulau itu ke tahap seterusnya.

Bak kata penulis sebuah akhbar bahasa Inggeris, Dr Mahathir hanya memberi Langkawi ‘langkah permulaan’ dan Datuk Seri Najib mempunyai visi dan misi untuk membawa pulau itu jauh ke hadapan.

BACA: Datuk Seri Najib Tun Razak gempur Langkawi

Sejumlah 18 inisiatif baharu kerajaan itu, antara lain, ialah mewujudkan Pusat Transformasi Bandar (UTC) sebagai pusat sehenti untuk masyarakat Langkawi mendapatkan perkhidmatan dari Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri serta agensi-agensi berkaitan dengan lebih pantas dan efisyen.

BACA: Daripada saya maki pihak lawan, baik saya kempen tentang agenda negara - PM Najib

Ucapan-ucapan Datuk Seri Najib berubah ikut tempat mana beliau pergi. Ada masa beliau lebih gemar berseloroh, ada masa beliau akan mengkritik dasar yang ingin dibawa Pakatan Harapan, terutama sekali oleh seterunya Dr Mahathir.

Semuanya diadun bagi memastikan amanatnya ada kepelbagaian dalam usaha meyakinkan rakyat, apa perlunya menidakkan hasrat PH untuk menawan Putrajaya, sebaliknya terus memberi mandat untuk BN kekal berkuasa.

Di kawasan yang selama ini disandang pembangkang seperti P.121 Lembah Pantai, P.124 Bandar Tun Razak dan P.116 Wangsa Maju, Datuk Seri Najib lebih keras ucapannya.

Di Lembah Pantai misalnya, tanpa berselindung Perdana Menteri berkata, beliau seolah-olah melepaskan geram kerana kerusi Parlimen itu jatuh ke tangan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar atas sebab ‘fitnah’.

Katanya lagi, pembangkang memang mempunyai strategi khusus untuk menjadikan Pilihan Raya Umum kali ini sebagai kilang menabur fitnah, dan Datuk Seri Najib turut memperkenalkan hashtag #TsunamiPHitnah di laman media sosial beliau (nota: PH membawa maksud Pakatan Harapan).


BACA: PM Najib: Negara bangsa tidak boleh dibina berdasarkan fitnah

Di Bandar Tun Razak pula, Pakatan Harapan kali ini memilih untuk mencalonkan bekas ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar, seorang loyalist Ketua Umum PKR sejak berzaman lamanya iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Seperti yang Perdana Menteri katakan, atas asas apa memilih orang luar sedangkan calon Barisan Nasional, Adnan Seman itu sendiri anak jati kawasan itu.

“Pembangkang bukan pilih calon untuk berkhidmat, sebab itu dia pindah-randah dari satu kawasan ke kawasan lain, dari negeri ke negeri. Jadi tak boleh pakai orang macam ini. Dia bukan ada hati perut, dia tak ada kasih sayang pada orang di sini,” katanya.


Begitu juga di kawasan seperti P.041 Kepala Batas dan P.042 Tasek Gelugor di Pulau Pinang dan kawasan 'kabur' seperti P.062 Sungai Siput di Perak.

Di Kepala Batas, Datuk Seri Najib menempelak Tan Sri Mokhzani kerana kenyataan anak Dr Mahathir itu seolah-olah memperkecilkan nasib golongan penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

BACA: Hina BR1M: Mokhzani tak apalah, pak dia siapa - Najib

BACA: #MalaysiaMemilih: Mokhzani tak perlu hina penerima BR1M

Dan apabila Dr Mahathir cuba meredakan kemarahan masyarakat akibat kenyataan kontroversinya tentang 14 mangsa Peristiwa Memali, itu seolah-olah memberi bola tanggung kepada Datuk Seri Najib.

BACA: Tindakan Tun M cuba lawat kubur Nik Aziz kepura-puraan tahap 'extreme' - Najib

Namun jika diamati sebenarnya, hanya sekali-sekala ucapan Perdana Menteri akan menjadi ‘seksi’ atau berbaur ‘kontroversi’, kerana beliau lebih gemar menyebut tentang tawaran apa yang bakal Barisan Nasional laksanakan seandainya mendapat mandat untuk lima tahun seterusnya.

Yang nyata, setiap kali penulis menyampaikan apa jua isi ucapannya di laman media sosial, terutamanya di Twitter, setiap kali itu juga ruangan ‘mention’ akan dipenuhi dengan kata-kata nista.

Ada di antara akaun itu asli, ada di antara akaun itu wujud baru berhari-hari.

Dan secara realitinya, kelibat Perdana Menteri di media sosial seolah-olah tidak dihargai, sebaliknya lebih dijadikan tempat untuk meluahkan rasa benci.

Itu normal kerana lebih mudah mencaci maki di laman media sosial bertopengkan kebebasan bersuara.

Tetapi, sama ada Datuk Seri Najib itu berjaya dalam strateginya kali ini, yang kita ketahui baru kali kedua beliau memimpin Barisan Nasional menghadapi PIlihan Raya Umum, 9 Mei nanti ada jawapannya.