Setiap anak adalah bayangan ibunya. Kita mungkin akan berkata − Oh,mana mungkin? Latar zaman yang berjarak menjarakkan juga peribadi kami. Ibu saya seorang Martha Stewart. Penampilannya sentiasa rapi, tercermin juga pada kerja tangannya. Tidak perlu masuk Master Chef pun dia sentiasa me
Saya bawakan satu lagi contoh klasik dari filem P.Ramlee (orang makan tidur dengan filem P.Ramlee macam saya ni kena selitkan juga) iaitu Ibu Mertuaku. Ada sesiapa di Bumi Malaya ini yang masih tidak pernah dengar nama Nyonya Mansor, Sabariah dan Kassim Selamat? Sabariah dipaparkan membuat pilihan yang bertentangan dengan ibunya sehingga sanggup disingkir dari familinya sendiri. Ibunya, seperti mana ibu-ibu yang lain sebenarnya mahukan yang terbaik untuk anak mereka. Si ibu mahu anaknya berkahwin dengan lelaki yang ada kerjaya lebih menjamin, berbanding kerjaya pemuzik ketika itu. Tetapi Sabariah ketegar. Ketika ini jelas terlihat si anak berbeza haluan dengan si ibu.
Namun apabila anak Sabariah iaitu Tajudin menunjukkan minat terhadap muzik, Sabariah cepat-cepat berkata kepada Dr.Ismadi yang menjadi suami keduanya, “Dinda akan didik dia sehingga dia menjadi seorang doktor.”
Peribadi Anak VS Peribadi Ibu
Nah,sekarang dia telah berfikiran sama seperti ibunya. Banyak filem Hollywood yang gemar mengambil premis “anak tidak memahami ibu vs ibu tidak memahami anak.” Freaky Fridaymisalnya. Tetapi di akhir cerita, masing-masing melalui kembara watak dan mendapat mesej, ewah, dengan memahami susah-senang yang dilalui oleh dua personaliti berbeza. Kita selalu menyangka bahawa kita dan ibu berbeza peribadi sehingga sembilan planet jauhnya.
Percayalah, bayang keperibadian ibu tidak pernah meninggalkan kita walau satu nano milimeter pun.
Ibu saya adalah seorang yang mendewasa sambil menyongsang arus adat dan budaya di kelilingnya. Ketika kecil lalu menginjak remaja, ibu tidak seperti anak gadis lain yang dilihat rajin kerana duduk memasak dan menjahit. Ibu melalui zaman anak gadisnya seputar dekad 1950-an hingga 1960-an.
Kegemaran ibu ketika ini ialah membaca buku-buku, mendengar radio lalu menyalin senikata lagu-lagu indah yang didengarnya. Inilah titik mula ibu saya menjadi seorang sasterawan. Ketika ini, anak gadis yang berkepit dengan buku tidak dianggap seorang yang rajin. Inilah latar zaman di mana ibu bapa lebih rela bergolok-gadai membuat persiapan kenduri kahwin untuk anak gadis mereka, berbanding mengeluarkan biaya supaya anak gadis itu boleh melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih baik. Inilah zamannya di mana ibu bapa lebih takut soksek soksek orang kampung jika anak gadis mereka kahwin lambat ataupun kenduri kahwin itu dibuat ala kadar. Tidak habis sekolah pun tidak mengapa.
Ibu Suka Berjalan Dari Pokok ke Pokok
Salah satu rutin ibu saya apabila ada ilham yang sedang berombak dalam laut kreativitinya ialah termenung dan berjalan dari pokok ke pokok. Ibu tidak ramai kawan semasa kecilnya. Anak gadis yang duduk termenung dianggap sangat tidak ideal. Berjalan dari pokok ke pokok sudah tentu merisaukan orang tua, manalah tahu ada ‘campur tangan’ kuasa ghaib pula.
Kemudian, apabila ibu saya sudah mula serius berkarya dan menghantar karyanya ke media tempatan, maka lain pula dugaannya. Peminat-peminat menghantar surat ke sekolah tempat ibu belajar lalu ibu dipanggil guru. Bukan pujian dan kebanggaan yang diperolehi, tetapi cemuhan dan amaran; kononnya ibu sengaja mencari populariti murahan dengan meletakkan alamat sekolah pada byline karyanya.
Begitulah latar zaman membawa perbezaan pendapat. Alangkah berbezanya senario itu dengan senario sekarang. Agaknya kalau ada artis popular di sebuah sekolah, tergedik-gedik para guru hendak masuk gambar. Ibu saya kecewa tetap tidak sampai patah semangat. Beliau terus berkarya dan ketika di USM, menghasilkan kumpulan puisinya yang pertama bertajuk Sesayup Jalan. Ketika ini, sekali lagi ibu dipanggil oleh Naib Canselor USM ketika itu. Beliau tidak menyangka bahawa kumpulan sajak tersebut dihasilkan oleh seorang perempuan.
Nah! Ibu saya berkarya ketika penulis wanita masih dibanding-bandingkan dengan penulis lelaki daripada segi gaya, mutu dan keunggulan. Ketika ini, kritikan sastera masih lagi berpendapat, jika karya seorang penulis wanita itu hebat, maka karyanya itu akan dikatakan “setanding dengan penulis lelaki”.
Hello! Ibu mengikut saranan Virginia Woolf dan Elaine Showalter yang mahukan karya mengenai pengalaman wanita itu dihasilkan oleh penulis wanita sendiri dan perlunya satu bentuk kritikan sastera yang memahami wanita sebagai penulis. Dan, jika anda mengikuti perkembangan sastera tanah air, siapakah penulis wanita pertama di Malaysia yang mempunyai kumpulan puisi persendirian? Dua puluh sen untuk jawapan yang betul.
Dunia dikejar, Akhirat Jangan dilupa
Ibu memilih untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dan bekerja. Berkahwin dan melahirkan anak ketika usia memasuki 3 series dianggap sudah lambat untuk wanita pada zaman itu. Orang tua yang tidak faham akan melabel dengan segala frasa seperti ‘tidak laku’ atau ‘terlalu memilih’. Yang tidak diajar sejak kecil ialah jodoh pertemuan di tangan Yang Esa. Namun ibu tetap meneruskan kehidupan, dan lahirlah kami lima beradik yang kini sudah pun mempunyai kehidupan sendiri.
Saya sendiri sebagai seorang yang mengakrabi dunia aksara, pastinya memberi kredit kepada ibu. Kalau sudah dari kecil saya membaca segala macam karya dan kajian sastera, dibawa ke acara-acara sastera dan bergaul dengan para sasterawan, maka usahlah pelik jika saya tidak menjadi seorang pengusaha restoran ayam penyet atau pengusaha kek cawan. Saya mengulang episod yang sama dengan ibu;tidak ramai kawan semasa kecil dan berkepit dengan buku. Sense of humor dan cara saya mengungkapkan sesuatu juga tidak sama dengan rakan sebaya, sehingga menyebabkan saya sering terjebak dalam salah faham, malah dengan guru-guru juga.
Ibu saya mahukan yang terbaik untuk anak-anaknya, di dunia dan di akhirat. Ketika saya kehilangan banyak perkara dalam hidup sebagai manusia dewasa, ibu tidak pernah hilang daripada hidup saya. Saya ada tempat rujukan dalam bidang sastera dan akademik, sementelah pencapaian akademik ibu lebih tinggi dari saya. Bercakap soal pendidikan ini, ibu saya memberi kebebasan pada kami untuk memilih haluan pendidikan dan kerjaya masing-masing. Ibu tidak gaduh pun bila saya tidak mengisi borang UPU selepas SPM, malah beliau sendiri yang membawa saya ke temu duga pelajar Akademi Seni Kebangsaan. Pergilah jadi sessionist untukband terkenal, pergilah jadi busker, asalkan pelajaran (dunia dan akhirat) tidak dilupa.
Oh, dua hal tentang ibu saya iaitu Dr.Hajah Zurinah Hassan. Pertama, beliau cukup pantang dengan orang yang menganggap semua wanita usia emas (hehehe tak sebut tua tau!) tidak berpelajaran dan tidak tahu apa-apa pasal perkembangan dunia moden. Kedua, beliau lebihgadget wise daripada saya!
Teks: Raihani Mohd. Saaid