Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan kerajaan gabungan Perikatan Nasional (PN) telah menubuhkan Majlis Presiden-Presiden Parti selepas menerima persetujuan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PN.

Menurut beliau, penubuhan Majlis Presiden itu dilihat dapat menyelaraskan keputusan yang akan dibuat gabungan-gabungan parti PN selain memantapkan kerjasama yang terjalin sejak penubuhan gagasan terbabit pada Mac lalu.

Beliau berkata, pimpinan tertinggi PN juga telah memutuskan untuk meletakkan kepentingan rakyat sebagai agenda utama khususnya dalam mendepani situasi penularan wabak COVID-19.

Dalam masa, kepimpinan PN juga enggan rakyat Malaysia diheret lagi dalam kemelut politik seperti yang berlaku sebelum ini.

"Secara prinsip tak terjejas (hubungan)... Alhamdulillah saya nak maklumkan sikit kita dalam majlis tertinggi, Majlis Presiden dah setuju dua perkara.

"Yang pertama kita wujud Majlis Presiden yang libatkan semua presiden parti... sudah ada satu badan di mana presiden parti akan duduk bersama. Yang kedua kita bersetuju apa perkara yang libatkan pentadbiran kerajaan Pusat dan negeri di bawah Perikatan Nasional kita letak sebagai keutamaan... utamakan kepentingan rakyat dalam situasi COVID-19 ini daripada duduk kecamuk dalam politik," kata beliau.

Tuan Ibrahim berkata demikian dalam sidang media di Wisma Darul Aman, di sini pada Ahad.

Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan, gabungan kepimpinan PN tidak sesekali terjejas dengan kemelut yang berlaku dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika ini.

Terdahulu, menerusi dalam satu kenyataan pada 17 Mei, enam pemimpin utama dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Barisan Nasional (BN), Parti Islam Se-Malaysia (Pas), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menyokong penubuhan PN melalui kerjasama gabungan parti politik.

Melalui kenyataan sama, satu Memorandum Persefahaman Perikatan Nasional telah dirangka bertujuan memperkasa dan memartabatkan keluhuran Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan Raja-Raja Melayu, prinsip-prinsip Rukunegara dan menjamin kebajikan dan kepentingan seluruh warganegara Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa.