KOTA KINABALU:Perintah Berkurung di tujuh kawasan perairan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) dilanjutkan sehingga 1 Disember 2020.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata lanjutan itu dibuat kerana maklumat mendedahkan terdapat cubaan penculikan dan jenayah rentas sempadan dilakukan kumpulan Abu Sayyaf serta penculik untuk tebusan (KFR).

"Pengisytiharan lanjutan perintah berkurung ini bermula 17 November 2020 (Selasa) mengikut Seksyen 31 (4) Akta Polis 1967.
   
"Sehubungan itu, orang ramai yang tinggal dikawasan berkenaan dikehendaki berada di dalam rumah (dan orang lain tidak dibenarkan memasuki atau berada) di kawasan yang telah diisytiharkan antara jam 6 petang sehingga 6 pagi pada tarikh 16/11/2020 sehingga 01/12/2020," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad.

Menurut Hazani perintah berkurung terbabit meliputi kawasan yang sama dengan perintah sebelum ini.

Kawasan perairan melibatkan daerah Sandakan, Sandakan dan Beluran, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

"Ini adalah bagi nenjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan yang berada di daratan dikawasan Esszone," katanya.