PUTRAJAYA: Perintah perceraian dan perintah nafkah hanya boleh dilaksanakan serentak sekiranya mendapat persetujuan bersama antara suami dengan isteri yang memfailkan kes, kata Ketua Hakim Syarie Datuk Mohd Na'im Mokhtar.

Beliau berkata apabila Mahkamah Syariah menerima permohonan perceraian yang disertai dengan persetujuan kedua-dua pihak ke atas perintah nafkah, maka hakim syarie akan mengeluarkan perintah perceraian dan perintah nafkah secara serentak.

Menurutnya, hakim syarie dan peguam syarie mengesyorkan kesepakatan seperti yang dianjurkan dalam Islam iaitu setiap suami dan isteri yang berhasrat memfailkan perceraian mestilah mencari jalan perdamaian dengan berbincang berhubung tuntutan nafkah.

"Dengan ada persetujuan kedua-dua pihak, itu jalan terbaik. Maka kita harap suami dan isteri berbincang dan selesaikan permohonan perceraian dan tuntutan nafkah dengan baik," katanya pada sidang media berhubung isu hiwalah (pemindahan hutang) dan perintah nafkah bersama pembubaran perkahwinan di sini hari ini.

Kerajaan sebelum ini bersetuju mencadangkan supaya hakim Mahkamah Syariah membuat perintah secara serentak bagi permohonan perceraian dan urusan tuntutan nafkah untuk isteri dan anak-anak bagi mengelakkan masa terlalu lama diambil untuk menyelesaikan isu tersebut sehingga menyebabkan bekas isteri serta anak-anak tidak mendapat keadilan.

Mohd Na'im berkata pihaknya mengesyorkan Persatuan Peguam Syarie memainkan peranan dengan menasihatkan klien masing-masing untuk mencari jalan perdamaian bagi mencapai persetujuan berhubung permohonan perceraian dan tuntutan nafkah.

"Dengan adanya peranan ini, maka proses permohonan perceraian dan tuntutan nafkah akan berjalan lancar serta tidak mengambil masa yang lama. Kita (Mahkamah Syariah) ada KPI (petunjuk pretasi utama) penyelesaian kes tuntutan nafkah iaitu dua tahun," katanya.

Bagi kes yang tidak mencapai persetujuan bersama, Mohd Na'im berkata Mahkamah Syariah akan mengeluarkan perintah perceraian terlebih dahulu bagi mengelakkan tempoh masa penyelesaian kes tersebut berlanjutan.

"Dalam situasi ini, Mahkamah Syariah akan tentukan secara adil berapa pendapatan sebenar suami sebelum menentukan taksiran sebenar nafkah yang perlu dibayar kepada bekas isteri dan anak-anak," katanya.

Bagi menjamin keadilan untuk bekas isteri dan anak-anak, beliau berkata sementara menunggu kes perbicaraan selesai, hakim syarie akan mengeluarkan perintah nafkah sementara berdasarkan Seksyen 70 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 atau merujuk kepada Arahan Amalan 5/2019 berhubung Garis Panduan Skala Pentaksiran Jumlah Nafkah Anak.

Bagi proses perbicaraan tuntutan nafkah, ia dibicarakan berpandukan Seksyen 60 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 yang menetapkan bekas isteri perlu mengemukakan jumlah pendapatan bekas suami, harta yang dimiliki bekas suami serta keperluan bekas isteri dan anak-anak.

"Ketika sesi pendengaran kes, Mahkamah Syariah memerlukan maklumat ini berserta bukti-bukti. Maka Mahkamah Syariah boleh taksirkan jumlah nafkah yang diperlukan bekas isteri dan anak-anak," katanya.

-- BERNAMA