MALAYSIA
Perintah pemaparan harga ubat, KKM fokus penguatkuasaan pendidikan - Dr Dzulkefly

Dr Dzulkefly berkata penguatkuasaan pendidikan dalam perintah pemaparan harga ubat itu diteruskan meskipun terdapat pihak yang memohon kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar peraturan berkenaan. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) kini memfokuskan penguatkuasaan pendidikan di semua peringkat dalam perlaksanaan Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Ubat) 2025 yang mula dikuatkuasakan pada 1 Mei lepas.
Ringkasan AI
- KKM memfokuskan penguatkuasaan pendidikan dalam pelaksanaan perintah penandaan harga ubat yang mula dikuatkuasakan pada 1 Mei 2025, tanpa denda atau kompaun dalam tempoh tiga bulan awal.
- Perintah ini mewajibkan semua klinik dan farmasi komuniti memaparkan harga ubat secara jelas kepada pengguna, sama ada di rak, katalog atau senarai bertulis.
- Beberapa persatuan perubatan termasuk MMA dan FPMPAM memohon semakan kehakiman untuk mencabar peraturan tersebut, namun KKM tetap meneruskan pendekatan pendidikan sambil menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan.
"Kita akan teruskan perlaksanaan penguatkuasaan pendidikan supaya tidak ada lompong sehingga kajian semula kehakiman diputuskan oleh mahkamah," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Penilaian Teknologi Kesihatan Kebangsaan 2025 dan Sambutan Ulang Tahun Ke-30 Cawangan Penilaian Teknologi Kesihatan (MaHTAS) di sini hari ini.
Dr Dzulkefly mengulas mengenai laporan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) bersama tujuh yang lain memohon kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar peraturan mewajibkan kemudahan jagaan kesihatan swasta mempamerkan harga ubat-ubatan.
Pemohon lain ialah Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Sabah (APPS), Persatuan Kemajuan Perubatan Fungsian dan Antara Disiplin Malaysia (MAAFIM), Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (PERDIM), Gabungan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM).
Bermula 1 Mei 2025, semua premis klinik dan farmasi komuniti wajib memaparkan harga ubat yang dijual di premis masing-masing kepada pengguna.
Arahan itu dikuatkuasakan menerusi pewartaan Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Ubat) 2025 yang menetapkan semua ubat perlu disertakan dengan tanda harga yang jelas, sama ada di rak pameran, katalog atau senarai harga bertulis.
Pada 4 Mei lepas, Dr Dzulkefly menegaskan bahawa tiada denda atau kompaun akan dikenakan terhadap farmasi dan klinik swasta dalam tempoh tiga bulan sekiranya gagal melaksanakan pemaparan ubat kerana tumpuan KKM adalah pada aspek pendidikan terlebih dahulu.
Setakat ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mahupun KKM belum mengumumkan sebarang lanjutan kepada tempoh kelonggaran selama tiga bulan yang berakhir esok.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami