Kerajaan negeri Johor menyangkal pendapat Singapura yang mengatakan ia telah kehilangan hak untuk menyemak semula harga air mentah dibekalkan kepada republik itu di bawah Perjanjian Air 1962.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ir Hasni Mohamad berkata perjanjian itu memberi hak kepada Johor dan Malaysia untuk menyemak harga air mentah yang dibekalkan kepada Singapura.

"Jabatan Peguam Negara telah memberikan pandangan bahawa kita tetap mempunyai hak untuk menyemak semula harga air mentah yang dibekalkan kepada Singapura itu."

"Kita tidak bersetuju dengan pandangan Singapura yang mengatakan kita telah telah kehilangan hak itu," katanya kepada Bernama Jumaat.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Luar republik itu K Shanmugam di Parlimen Singapura pada Khamis bahawa Malaysia telah kehilangan haknya selepas tidak berbuat demikian pada 1987.

Perjanjian Air 1962 memperuntuk semakan semula berkaitan harga air mentah yang dibekalkan kepada Singapura selepas 25 tahun atau pada 1987.

Di bawah perjanjian itu, Malaysia menerusi Johor membekalkan 250 juta gelen air mentah sehari kepada Singapura pada harga tiga sen bagi 1,000 gelen.

Pada masa sama, republik itu turut membekalkan lima juta gelen air terawat kepada Johor sehari pada harga 50 sen bagi setiap 1,000 gelen.

"Kita berpandangan semakan semula harga itu tidak semestinya dilakukan pada 1987 tetapi (boleh dilakukan) bila-bila selepas 25 tahun sebagaimana yang diperuntukkan di bawah perjanjian itu," katanya.

Bagaimanapun, Hasni berkata kerajaan negeri akur semakan semula harga air mentah itu membabitkan isu dua hala Malaysia dan Singapura serta menyerahkan kepada Putrajaya untuk menanganinya.

Beliau berkata Johor telahpun memaklumkan kerajaan Persekutuan pada Februari lepas menerusi nota agar memasukkan isu itu dalam agenda perbincangan Malaysia-Singapura.

"Rundingan dua hala itu diadakan secara berkala dalam dua atau tiga bulan sekali, kita berharap isu semakan semula harga mentah dapat dimasukkan dalam agenda perbincangan dua hala terdekat ini," katanya.

Hasni berkata Johor telahpun menyiapkan segala maklumat berkaitan isu semakan harga air mentah yang dibekalkan kepada Singapura, jika kerajaan Persekutuan memerlukannya.

Beliau berharap isu itu dapat diselesai menerusi semangat setiakawan antara Johor, Malaysia dan Singapura. -- Bernama