KUALA LUMPUR:Terma-terma Perjanjian Dua Hala yang telah ditandatangani pada tahun 2016 membabitkan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura tidak lagi berdaya maju untuk diteruskan Malaysia berikutan penularan pandemik COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ia sekali gus memberi kesan teruk kepada ekonomi serta menjejaskan kedudukan fiskal negara.

Menurut beliau, bermula akhir 2018, Kerajaan Malaysia telah meneliti beberapa alternatif bertujuan untuk menurunkan kos keseluruhan projek berkenaan.

Ini kerana jelas beliau, penelitian semula itu menjadi keutamaan kerajaan semenjak pandemik COVID-19 berlaku.

"Lanjutan daripada itu, bermula pertengahan tahun 2020 yang lalu, kerajaan telah mengemukakan beberapa cadangan perubahan bagi mengurangkan kos keseluruhan projek ini.

"Cadangan-cadangan tersebut termasuklah perubahan kepada struktur projek, jajaran dan reka bentuk stesen.

"Struktur projek yang asal memerlukan jumlah Jaminan Kerajaan (Government Guarantees) yang besar dan untuk tempoh yang panjang.

"Cadangan struktur projek yang baharu ini juga akan memberikan kerajaan fleksibiliti dalam memilih opsyen pembiayaan projek termasuklah melalui kaedah pembayaran tertangguh, usaha sama awam dan swasta serta kemungkinan mendapatkan akses kepada pembiayaan pada kadar yang munasabah," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.


Kenyataan Media Datuk Seri Mustapa Mohamed mengenai pembatalan HSR
 

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, cadangan perubahan struktur projek itu dijangka dapat mempercepat pemulihan ekonomi Malaysia yang terjejas akibat pandemik itu.

Katanya, berdasarkan cadangan baharu yang dikemukakan, projek itu akan dimulakan pembinaannya dua tahun lebih awal berbanding perancangan asal.

"Ini akan memberikan rangsangan yang amat diperlukan oleh sektor pembinaan dan juga industri lain yang berkait rapat dengan sektor ini.

"Mengambil kira perubahan-perubahan ini, kedua-dua negara telah mengadakan perbincangan sepanjang beberapa bulan yang lepas bagi memperjelaskan pendirian masing-masing.

"Walau bagaimanapun, tiada persetujuan dicapai mengenai perubahan-perubahan yang dicadangkan dan dengan itu, Perjanjian Dua Hala berkenaan Projek HSR telah luput pada 31 Disember 2020," katanya.

Dalam pada itu, beliau menambah, Malaysia akan menghormati terma-terma Perjanjian Dua Hala berkenaan.

"Kedua-dua negara akan mengambil tindakan yang perlu untuk menentukan jumlah pampasan.

"Seterusnya, kerajaan akan melaksanakan kajian terperinci yang akan meliputi kesemua opsyen termasuk daya maju projek keretapi laju domestik serta manfaatnya kepada rakyat," jelasnya.

Mustapa berkata, hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura bagaimanapun  amat rapat.

"Kita akan terus memperkukuhkan hubungan ini termasuk mempertingkatkan kesalinghubungan antara kedua negara, demi faedah bersama," ujarnya.