Balu kepada ahli perniagaan Syed Amen Jainul Abidin yang maut ditembak di Jalan Datuk Keramat di sini semalam, menerima bayaran faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Pengurus Perkeso Negeri, Shaharuddin Waled berkata isteri mangsa Masita Abu Bakar, 46, menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM1,500 sebagai bayaran awal atas kematian suaminya.

"Arwah layak menerima faedah ini kerana pernah mencarum dengan Perkeso dari 1988 hingga 2002 semasa bekerja di sebuah kilang di Perai. Selepas ini kami akan melakukan pengiraan untuk pencen yang layak diterima waris arwah pula.

BACA: Polis kenal pasti warna kulit, pakaian suspek

"Setiap hari skuad prihatin Perkeso akan membuat semakan terutama melalui laporan media bagi mengesan individu yang layak menerima bayaran faedah jika terbabit dalam kemalangan dan berlaku kematian," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata jika ada kematian dilaporkan dalam akhbar, pihaknya akan membuat pemeriksaan dan jika layak, bayaran segera seperti FPM akan disalurkan kepada waris mangsa.

BACA: Syed Amen pernah diugut kerana lantang bersuara - Isteri

Dalam kejadian pada 3.30 pagi Khamis lalu, Syed Amen, 46, maut selepas ditembak dari jarak dekat di hadapan sebuah kedai motosikal berkuasa tinggi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Datuk Mohd Zakaria Ahmad dilapor sebagai berkata mangsa ditemukan dalam keadaan berlumuran darah di dalam keretanya selepas seorang lelaki melepaskan lima das tembakan ke arahnya.

Dalam perkembangan lain, Pertubuhan Pembela Nasib Melayu Malaysia (Gerakan Merah) mahu polis menjalankan siasatan terperinci terhadap kes itu.

Presidennya Mohd Ali Baharom berkata pihaknya percaya penembak upahan telah diupah pihak tertentu untuk membunuh mangsa yang lantang bersuara mempertahan hak kaum Melayu di Pulau Pinang.

BACA: Maut ditembak, peniaga nasi kandar sudah ramal nasib yang bakal menimpa


Sementara itu rakan mangsa Mohd Azman Ali, 51, yang merupakan antara orang terakhir bersama arwah berkata sebelum kejadian itu, mereka dan 10 lagi rakan mangsa bertemu di sebuah kelab berhampiran Times Square di sini.

"Kami berjumpa pada tengah malam dan bersembang sehingga pukul 3 pagi. Selepas itu (Syed) Amen ajak kami pergi makan lalu kami naik kereta masing-masing untuk ke sebuah restoran.

"Bila semua sudah sampai, tiba-tiba seorang rakan kami telefon maklumkan arwah telah ditembak dan kami terus bergegas ke tempat kejadian," kata Mohd Azman.

Katanya arwah juga pernah menceritakan kepadanya tentang beliau sering diugut untuk dicederakan termasuk dibunuh kerana sering membela dan mempertahankan perkara yang betul terutama berkaitan orang Melayu.

Beliau berkata ada yang menganggap Syed Amen seorang gengster, namun arwah merupakan orang yang tegas dan kasar, tetapi baik hati kerana sering menyumbang kepada orang susah terutama anak-anak yatim di negeri ini dan Kedah.

"Saya tidak boleh lupa masa pertemuan terakhir itu arwah ada cakap dia selalu diugut dan akan mati, tetapi tidak tahu caranya," kata Mohd Azman yang tidak menyangka kata-kata itu benar-benar menjadi kenyataan.