MELAKA: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) disaran menubuhkan tiga lagi pusat rehabilitasi baharu dalam tempoh lima tahun akan datang, kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.

Beliau berkata ini memandangkan terdapat hanya sebuah pusat rehabilitasi yang beroperasi ketika ini iaitu Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak di Ayer Keroh di sini, manakala di Ipoh, Perak pula akan beroperasi pada tahun ini dan di Terengganu sedang dalam pembinaan.

"Saya juga nak lihat dalam tempoh lima tahun lagi ada tiga pusat rehabilitasi baharu termasuk di Sabah dan Sarawak. Kita nak lihat supaya kita (Perkeso) boleh kembangkan perkhidmatan ini (di seluruh negara).

"Perkeso bukan sahaja memberi perlindungan dalam bentuk pampasan tetapi satu perlindungan lebih menyeluruh termasuk rehabilitasi," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak di Ayer Keroh di sini semalam.

Hadir sama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwee Hee Sem dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Steven berkata sejak beroperasi pada 2014, Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak telah memberikan perkhidmatan kepada lebih 15,000 pencarum dan bukan pencarum Perkeso untuk menjalani pemulihan akibat terlibat kemalangan atau sakit ketika bertugas.

Beliau berkata daripada jumlah tersebut, kira-kira 70 peratus berjaya kembali ke tempat kerja selepas menjalani rawatan pemulihan intensif.

Menurutnya pusat rehabilitasi tersebut juga menerima pesakit dari luar negara yang menjalani rawatan di fasiliti itu kerana tertarik dengan kemudahan yang ditawarkan.

-- BERNAMA