MELBOURNE: Seorang lelaki dan seorang remaja lelaki ditahan polis selepas didakwa menyerang seorang sukarelawan parti sayap kanan Australia, One Nation, menggunakan kayu besbol dalam satu kejadian di negeri Victoria.
Menurut polis, lelaki berusia 37 tahun dan remaja berusia 14 tahun itu ditahan pada Ahad malam susulan insiden yang berlaku di luar rumah mangsa di Torquay, kira-kira 100 kilometer di barat daya Melbourne.
Lelaki terbabit telah didakwa atas kesalahan berkaitan serangan dan ditahan reman, manakala remaja berkenaan diberikan amaran oleh pihak berkuasa.
Mangsa yang merupakan sukarelawan parti One Nation dikejarkan ke hospital akibat kecederaan yang tidak mengancam nyawa.
Polis memaklumkan keadaannya kini stabil dan sedang menerima rawatan.
Ketua One Nation Victoria, Warren Pickering, mendakwa insiden itu berlaku selepas kedua-dua suspek dipercayai mengganggu papan tanda kempen pilihan raya yang dipasang di hartanah milik mangsa.
Bagaimanapun, polis setakat ini belum mendedahkan motif serangan tersebut.
Pickering menyifatkan kejadian itu sebagai sesuatu yang bertentangan dengan nilai masyarakat Australia dan tidak boleh diterima.
“Sebarang bentuk keganasan atau intimidasi politik terhadap sesiapa sahaja tidak boleh diterima di negara ini.
“Jika seseorang tidak bersetuju dengan fahaman politik orang lain, saluran yang sesuai adalah melalui proses pengundian, bukannya melakukan serangan,” katanya.
Pada Selasa, pemimpin One Nation, Pauline Hanson, melawat mangsa di Hospital Universiti Geelong, tempat dia sedang menjalani pemulihan.
Menurut Hanson, mangsa menunjukkan semangat yang tinggi walaupun berdepan insiden tersebut.
“Dia mahu kembali menyertai kempen dan memasang semula papan tanda parti,” katanya kepada pemberita selepas lawatan itu.
Sementara itu, Pemangku Perdana Menteri Victoria, Ben Carroll, menyifatkan kejadian berkenaan sebagai mengejutkan.
“Tidak kira mereka menyokong parti berwarna merah, biru, oren atau hijau, mereka tetap sukarelawan yang melibatkan diri kerana percaya kepada perjuangan masing-masing.
“Tiada sesiapa patut menjadi sasaran serangan hanya kerana pandangan politik mereka,” katanya.
Kejadian itu berlaku ketika kempen pilihan raya negeri Victoria sedang berlangsung dan pada waktu Australia berdepan kebimbangan yang semakin meningkat mengenai tahap ketegangan dalam wacana politik negara tersebut.
Perdebatan mengenai keselamatan ahli politik dan penyokong parti turut memuncak selepas beberapa insiden melibatkan tokoh politik dalam negara itu sebelum ini, sekali gus mencetuskan kebimbangan bahawa retorik politik yang semakin tegang boleh meningkatkan risiko keganasan bermotif politik.