MALAYSIA
PERKESO perkukuh usaha banteras penipuan faedah, RM61 juta berjaya diselamatkan

Steven Sim menyampaikan ucaptama perasmian “Seminar on Fraud, Evasion and Error in Social Security and Insurance Claims” anjuran PERKESO kerjasama Pemeriksa Perubatan Bebas Lembaga Amerika (ABIME), di ibu negara. - Foto PERKESO
KUALA LUMPUR: Sebagai peneraju perlindungan keselamatan sosial negara, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kekal perkukuh integriti sistemnya melalui pendekatan proaktif demi membanteras penipuan faedah.
Ringkasan AI
- Sebagai peneraju perlindungan keselamatan sosial negara, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kekal memperkukuh integriti sistemnya melalui pendekatan proaktif demi membanteras penipuan faedah.
- Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, menyatakan bahawa usaha PERKESO dalam mengekang jenayah penipuan faedah telah berjaya menyelamatkan dana keselamatan sosial sebanyak RM61 juta setakat April lalu.
Menurutnya, siasatan tersebut merangkumi pelbagai skim termasuk Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS), Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK), Skim Keilatan serta Program Saringan Kesihatan (HSP).
“Usaha PERKESO mengekang jenayah penipuan faedah berjaya menyelamatkan dana keselamatan sosial dalam jangka panjang, mencecah lebih RM48.64 juta.
“Kejayaan ini dicapai hasil siasatan sehingga membawa kepada keputusan menggantung 383 kes atau 56.5 peratus daripada keseluruhan yang disiasat, sekali gus mencerminkan bahawa tadbir urus dan tata kelola yang tegas mampu memberi impak besar terhadap kecekapan sistem,” katanya menerusi kenyataan di ibu negara hari ini.
Mengulas lanjut, Steven Sim berkata penipuan faedah bagaimanapun kekal menjadi cabaran apabila kerugian mencecah RM2.1 juta masih direkodkan sepanjang 2024 berpunca daripada tuntutan tidak sah.
“Dalam usaha berterusan mengekang ketirisan dana, PERKESO juga menyemak semula Elaun Layanan Sentiasa (ELS) bagi memastikan kelayakan penerima disahkan secara berterusan.
“Sepanjang tempoh dari 2020 hingga April lalu, sebanyak 509 kes ELS disemak, dengan 117 kes atau 22.9 peratus dicadangkan digantung, sekali gus menyaksikan penyelamatan dana keselamatan sosial untuk jangka panjang menjangkau lebih RM12.2 juta.
“Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) komited sepenuhnya dalam menerajui pembaharuan sistem sosial negara dengan melibatkan seluruh ekosistem berkaitan,” ujarnya.

(Dari kiri) Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal; Presiden dan Pengasas ABIME, Prof Dr. Mohammed Ranavaya; Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed serta Pengarah Eksekutif, Pusat Rehabilitasi PERKESO, Datuk Dr. Hafez Hussain ketika menyampaikan anugerah The Lifetime Fellowship of the American College of Independent Medical Examiners (FACIME) dan Master Certified Independent Medical Examiner. - Foto PERKESO
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama “Seminar on Fraud, Evasion and Error in Social Security and Insurance Claims” anjuran PERKESO dengan kerjasama Pemeriksa Perubatan Bebas Lembaga Amerika (ABIME), di ibu negara, pada Selasa.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Presiden merangkap Pengasas ABIME, Prof Dr. Mohammed Ranavaya.
Menerusi majlis sama, Steven Sim mengumumkan Mohammed Azman menerima anugerah The Lifetime Fellowship of the American College of Independent Medical Examiners (FACIME) dan Master Certified Independent Medical Examiner.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami