KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) memaklumkan yang sistem dan perkhidmatan utamanya kembali beroperasi selepas berlaku serangan siber hingga menyebabkan gangguan kepada perkhidmatan pendeposit sejak 8 Oktober 2026.
Kumpulan tersebut dalam kenyataan berkata, pemulihan berkenaan dilaksanakan selepas pemeriksaan keselamatan secara menyeluruh, pengukuhan kawalan serta pelaksanaan langkah pemulihan sistem bagi melindungi simpanan dan maklumat peribadi pendeposit.
Susulan insiden itu, TH menghentikan sementara operasi sistem dan perkhidmatannya di semua saluran sebagai langkah berjaga-jaga. Ia turut memohon maaf atas kesulitan dialami pendeposit, terutamanya mereka yang ada urusan kewangan mendesak.
"Sejak kejadian tersebut, pasukan dalaman TH bekerjasama dengan pakar luar serta pihak berkuasa keselamatan siber negara bagi menyiasat serangan, menangani ancaman dan memulihkan sistem yang terjejas," jelas kumpulan berkenaan.
TH menyifatkan serangan itu sebagai perbuatan jenayah terhadap institusi berkenaan dan negara, dengan laporan polis sudah dibuat, di samping kepada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) serta Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP).
Dari segi operasi, cawangan TH di Kedah, Terengganu dan Kelantan kembali beroperasi pada 11 Oktober 2026, sementara cawangan di negeri lain dibuka seperti biasa pada 12 Oktober 2026. Perkhidmatan melalui bank rakan strategik TH juga kembali aktif.
Lembaga Tabung Haji (TH) memaklumkan bahawa sistem dan perkhidmatan utama telah kembali beroperasi selepas pemeriksaan keselamatan menyeluruh, pengukuhan kawalan dan langkah pemulihan sistem dilaksanakan. Pendeposit yang mengesan sebarang transaksi atau perkara luar biasa pada akaun mereka diminta segera memaklumkannya kepada TH. Bagi sebarang pertanyaan, keraguan atau bantuan, sila hubungi Pusat Perhubungan TH (THCC) di 03-6207 1919. TH merakamkan penghargaan atas kesabaran, kerjasama dan sokongan pendeposit sepanjang tempoh pemulihan ini serta memohon maaf dan amat kesal atas apa yang telah berlaku, namun ia terpaksa dilakukan demi keselamatan simpanan pendeposit. Keselamatan simpanan dan kepentingan pendeposit kekal menjadi keutamaan TH.
— Tabung Haji (@Tabung_Haji) October 12, 2026
Bagaimanapun, pengguna THiJARI masih belum dapat menggunakan tiga fungsi, iaitu penetapan semula kata laluan, pendaftaran pengguna baharu dan pembukaan akaun dalam talian, yang memerlukan tindakan pemulihan lanjut sebelum diaktifkan semula.
"Justeru segala perkembangan terkini mengenai pemulihan fungsi THiJARI tersebut akan dimaklumkan kepada masyarakat melalui saluran rasmi dari semasa ke semasa," jelas kenyataan berkenaan.
Dalam pada itu, TH memberi jaminan segala simpanan pendeposit adalah selamat, selain meneruskan pemantauan rapi serta terus memperkukuh kawalan keselamatan bagi memastikan sistem yang dipulihkan beroperasi dengan selamat dan lancar.
Pendeposit yang mengesan transaksi atau sebarang aktiviti luar biasa pada akaun masing-masing diminta segera memaklumkannya kepada TH. Sebarang pertanyaan, keraguan atau permohonan bantuan boleh disalurkan kepada Pusat Perhubungan TH (THCC) menerusi talian 03-6207 1919.
TH tambahnya, turut merakamkan penghargaan atas kesabaran dan kerjasama pendeposit sepanjang tempoh pemulihan, sambil menegaskan bahawa keselamatan simpanan serta kepentingan pendeposit adalah kekal menjadi keutamaan institusi itu. - DagangNews.com