KUALA LUMPUR: Perlis, Hulu Perak di Perak serta Beaufort di Sabah menjadi tiga kawasan yang merekodkan gelombang haba atau suhu panas tahap dua iaitu suhu maksimum harian 37 hingga 40 darjah Celsius bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut setakat 4.40 petang tadi.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kemas kini status cuaca panas di Facebook hari ini turut memaklumkan sebanyak 29 kawasan di Semenanjung, tiga di Sarawak dan satu di Sabah merekodkan suhu panas tahap satu atau berjaga-jaga.

Bagi Semenanjung, ia melibatkan 10 kawasan di Kedah (Kota Setar, Kubang Pasu, Pendang, Kuala Muda, Pulau Langkawi, Sik, Baling, Kulim, Pokok Sena dan Padang Terap) serta empat di Perak (Kinta, Kuala Kangsar, Batang Padang dan Kampar).

Turut merekodkan suhu panas tahap satu ialah masing-masing empat di Pahang (Bera, Maran, Temerloh dan Raub), Johor (Tangkak, Muar, Batu Pahat dan Segamat) dan Kelantan (Gua Musang, Kuala Krai, Jeli dan Pasir Mas) manakala dua di Melaka (Alor Gajah dan Jasin) serta satu di Negeri Sembilan (Jempol).

Mukah, Telang Usan dan Limbang di Sarawak serta Kota Belud di Sabah turut berdepan situasi sama.

Suhu panas tahap satu atau berjaga-jaga merujuk kepada suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

MetMalaysia sebelum ini memaklumkan Malaysia berada dalam fasa akhir monsun timur laut yang secara lazim menyaksikan kawasan utara Semenanjung mengalami litupan awan dan taburan hujan yang kurang selain menyebabkan cuaca lebih panas serta kering berbanding kebiasaan.

Selain itu, berikutan fenomena El Nino kuat yang kini melanda dunia, MetMalaysia menjangkakan suhu maksimum harian di negara ini boleh menjadi lebih tinggi di kebanyakan tempat.

-- BERNAMA