JAKARTA: Dua sistem siklon tropika yang sedang terbentuk berhampiran perairan Indonesia berpotensi membawa angin kencang dan ombak setinggi empat meter dalam tempoh beberapa hari akan datang, menurut amaran Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) negara itu pada Isnin, lapor Xinhua.
Pengarah Bahagian Meteorologi Maritim BMKG Agie Wandala Putra berkata kedua-dua sistem yang dikenali sebagai 'Tropical Cyclone Seed' 92B dan 96S’ masing-masing dikesan di Teluk Benggala dan Lautan Hindi di barat Sumatera.
Beliau berkata kedua-dua sistem itu mempengaruhi corak tiupan angin di perairan Indonesia, dengan kelajuan angin mencecah antara lapan hingga 25 knot di utara garisan Khatulistiwa dan lima hingga 20 knot di Selatan.
Menurut Agie, tiupan angin paling kencang direkodkan di perairan barat Aceh, Selat Karimata dan Laut Sulawesi.
Ombak setinggi 2.5 hingga empat meter diramal berlaku di Lautan Hindi di barat Aceh dan selatan Jawa Timur, manakala ombak setinggi 1.25 hingga 2.5 meter dijangka melanda beberapa kawasan lain termasuk Laut Natuna Utara, Laut Jawa dan Laut Maluku.
BMKG menggesa penduduk kawasan pesisir pantai, nelayan dan pengendali pengangkutan maritim di kawasan terjejas supaya terus berwaspada terhadap ancaman ombak tinggi serta keadaan laut yang berpotensi membahayakan keselamatan.
-- BERNAMA-XINHUA