KUALA LUMPUR : Buat peminat aktiviti sukan ekstrem memanjat tebing batu atau rock climbing, ini mungkin berita baik untuk anda.

Perlis memperkenalkan ClubRock yang mana merupakan kem induk berasaskan sukan lasak itu yang pertama di Malaysia.

Terletak di tapak khazanah, Gua Kelam, kem induk itu yang bakal dibuka pada awal tahun 2024, pastinya menjanjikan pengalaman istimewa buat pengunjung.

Dalam majlis pra-pelancarannya, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MyUS Group of Companies, Datuk Nellsen Young berkata ClubRock bakal menjadi nilai tambah kepada pelancongan negeri itu yang kaya dengan khazanah semula jadi.

"Kecantikan semula jadi Perlis benar-benar luar biasa dan merupakan khazanah berharga buat penggemar aktiviti luar.

"ClubRock Perlis bermatlamat untuk meletakkan Perlis di peta dunia khas dalam aktiviti pendakian.

"Misi kami adalah untuk membuka ruang pembangunan pembelajaran, komuniti dan penerokaan. Kami amat menggalakkan pengunjung menikmati keindahan flora dan fauna Perlis sambil memanfaatkan kemudahan moden dan aktiviti-aktiviti pengembaraan yang mengujakan," katanya.

Ujar beliau lagi, tidak hanya terhad kepada orang dewasa ClubRock juga bakal menawarkan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian untuk kanak-kanak. 

"Kanak-kanak yang berusia tujuh tahun ke atas boleh meneroka Gua Kelam 1 atau lebih dikenali sebagai Cave of Darkness, pengembaraan untuk menikmati alam semula jadi dan hidupan liar.

"Matlamatnya adalah untuk menerapkan nilai sayang buat alam semula jadi kepada kanak-kanak, selain menjadikan destinasi ini sesuai untuk keluarga," tambah beliau.

ClubRock Perlis yang terletak di Gua Kelam bakal menampilkan pelbagai kemudahan termasuk kafe, burik hotel dengan 35 bilik termasuk kem khas. -Gambar @WeareClubRock

Dalam pada itu, kewujudan ClubRock juga akan membuka peluang ekonomi buat masyarakat tempatan.

Ini termasuk peluang pekerjaan yang mana penduduk tempatan boleh turut serta sebagai kakitangan kem induk itu.

"Projek ini bakal menyediakan peluang pekerjaan buat komuniti tempatan dalam pelbagai sektor seperti hospitaliti, kulinari dan perkhidmatan seperti pemandu pelancong.

"Projek ini juga akan dimanfaatkan untuk mempromosi makanan-makanan tempatan yang ada di Perlis," katanya.   

Sementara itu, bagi menjamin kelestarian alam, ClubRock juga akan menekankan penggunaan teknologi mesra alam dan mampan dalam pengoperasiannya nanti.

Justeru itu, beliau amat mengalu-alukan penyertaan melalui kerjasama universiti-universiti dan para pengkaji yang berminat untuk mempelajari ekosistem dan biodiversiti yang ada di Perlis. 

Beliau berkata demikian dalam majlis pra-pelancaran 'Malaysia's 1st rock climbing, base camp & eco-adventure' di Livebox, KL Eco City pada Selasa.