KUALA LUMPUR: Cakap-cakap mengenai gesaan mempercepatkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dimulakan oleh Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan sejurus gabungan itu menang besar di Melaka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tempoh hari.

Beliau kemudian tampil memberi penjelasan dalam Agenda AWANI, menyatakan bahawa PRU15 perlu sebagai penyelesaian “once and for all” kepada kemelut kuasa dan pentadbiran negara yang tercetus sejak Langkah Sheraton pada Februari tahun lalu.

Dengan melihat kelancaran PRN Melaka, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat berpendapat, PRU15 munasabah diadakan dalam tempoh lima hingga enam bulan akan datang.

Pandangan Tok Mat itu mungkin disokong penuh oleh semua ahli partinya, tetapi reaksi yang bercampur turut diterima daripada pelbagai pihak.

Sejumlah penganalisis melihat tiada keperluan yang mendesak untuk terburu-buru menyerahkan semula mandat kepada rakyat, memandangkan kerajaan hari ini, walaupun berbentuk gabungan yang bukannya yang dipilih rakyat pada 2018, masih dapat berfungsi dengan lancar dan tenang.

Ada dalam kalangan mereka berpendapat, selagi Memorandum Persefahaman (MoU) Kerajaan-Pembangkang itu terus dihormati, kestabilan dapat dikekalkan sehingga penggal pentadbiran yang ditetapkan tamat sepenuhnya.

Namun antara tempoh itu masih dilihat berisiko, timbul kekhuatiran memandangkan Enakmen Antilompat Parti masih belum diangkat dan diperdebatkan untuk diluluskan di Parlimen, di Melaka pun belum apatah lagi di peringkat Persekutuan.

Bila-bila masa 'katak-katak' baharu boleh muncul dan membuat lompatan yang sudahnya akan mengheret negeri dan negara sekali lagi ke lembah permasalahan yang sama, selagi perbuatan itu tidak dilarang secara rasmi dengan termaktubnya akta khusus tersebut dalam Perlembagaan.

Malah, rakyat juga rata-ratanya tidak bersetuju.

Tinjauan yang dibuat Astro AWANI di Twitter mendapati, daripada 3,480 pengguna yang membuang undi, hanya 25.5 peratus sahaja daripadanya yang mahu PRU15 dipercepatkan.

Walaupun ia tidak mewakili semua di negara ini, secara rawaknya kita boleh berkata majoritinya tidak bersetuju.

Selagi belum ada keputusan tuntas daripada pihak yang berkuasa, cakap-cakap diteruskan lagi di pentas Dialog Tiga Penjuru malam ini, mempertemukan wakil BN, Pakatan Harapan (PH) dan anak muda.

Ikuti perbincangan bersama Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua DAPSY Kebangsaan, Howard Lee dan Pengasas Bersama Arus Anak Muda, Nabil Halimi dalam Dialog Tiga Penjuru pada pukul 8.30 malam hanya di saluran 501 dan astroawani.com.