Minggu lalu, akhbar Wall Street Journal melaporkan dana berjumlah AS$700 juta (RM2.67 bilion) disalurkan ke akaun milik perdana menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak. Susulan dakwaan itu, beberapa pihak menyoalkan ketelusan sistem penyaluran dana politik.
Pada masa yang sama, Presiden Transparency International Malaysia (TIM) Datuk Akhbar Satar mencadangan pembentukan undang-undang komprehensif bagi mengelak isu penyelewengan.
TIM turut menggesa pindaan dilakukan ke atas Seksyen 36 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Pindaan undang-undang itu membolehkan SPRM mengeluarkan notis mengarahkan mana-mana ahli politik atau kakitangan awam yang disyaki terlibat rasuah mengisytiharkan harta.
Kes pengisytiharan harta buat ahli politik bukanlah sesuatu yang baharu lantaran ia dipraktikkan di seluruh dunia.
Slovenia
Awal Januari 2013, suruhanjaya anti rasuah mengeluarkan satu laporan yang mengkritik Perdana Menteri Slovenia, Janez Janša dan pemimpin pembangkang kerana menyembunyikan aset bernilai tinggi.
Janez Janša dihukum penjara dua tahun selepas disabitkan kesalahan melibatkan korupsi pada Jun 2013. Photo - AFP
Ahli-ahli politik ini turut berdepan tuduhan percanggahan kepentingan apabila dikatakan tidak memaklumkan urus niaga dengan syarikat-syarikat yang mempunyai kontrak kerajaan.
Berita itu mencetuskan kemarahan orang ramai yang menuntut perletakan jawatan selain menyedari kepentingan pengisytiharan aset bagi pencegahan rasuah dalam politik. Pada 27 Februari 2013, Janez dilucutkan dari parlimen selepas mendapat undi tidak percaya.
Nigeria
Masyarakat sivil di Nigeria sejak tahun 2011 telah menyeru Presiden Goodluck Jonathan untuk mengisytiharkan harta beliau.
Goodluck Jonathan tidak bersetuju dengan isu pengisytiharaan harta dan menyifatkan ia bertentangan dengan prisip peribadinya. Photo - AFP
Presiden keempat Nigeria itu enggan berbuat demikian pada pertengahan tahun 2010 walaupun perlembagaan negara jelas menuntut semua pegawai awam untuk mengisytiharkan aset dalam tempoh tiga bulan daripada memegang jawatan.
Semasa menjawat Gabenor negeri Bayelsa pada tahun 2007, beliau mengisytiharkan aset berjumlah ₦ 295,304,420 Naira (sekitar RM6.9 juta).
Argentina
Peningkatan sebanyak 115 peratus terhadap kekayaan peribadi Presiden Cristina Fernández de Kirchner membawa kepada keresahan dikalangan rakyat serta ketidakstabilan politik.
Hubungan Argentina dan Amerika Syarikat pernah merosot akibat dakwaan yang dibuat oleh Penolong Peguam Amerika Syarikat terhadap Presiden Cristina Fernández de Kirchner. Foto - EPA
Peningkatan luar biasa itu berlaku dalam tempoh sedekad sejak 2003 mengundang pelbagai cemuhan serta komen ekoran beliau dahulunya pernah mengisytiharkan aset namun tidak jelas di mana punca peningkatan mendadak itu datang.
Cristina mendakwa sebahagian besar kekayaannya datang dari kejayaan firma guamannya. Walaubagaimanapun selepas suaminya, Néstor meninggal dunia pada tahun 2010, aset peribadinya jatuh merundum lantaran ia diwarisi anak-anak lelakinya.
India
Ahli politik di India harus mengisytiharkan harta sekiranya mahu bertanding untuk pemilihan parlimen. Namun langkah itu membuka mata rakyat India berikutan jumlah aset ahli-ahli politik ini bernilai jutaan rupee.
L.K. Advani menjawat jawatan Menteri Dalam Negeri pada tahun 1998 dan kemudiannya Timbalan Perdana Menteri selama dua tahun bermula 2002 hingga 2004. Foto - AFP
Mantan Timbalan Perdana Menteri, L.K. Advani mengisytiharkan nilai aset bersih Rs. 11.8 juta (RM710 ribu) yang merangkumi harta bernilai Rs. 8.5 juta (RM510 ribu) dan emas bernilai Rs 700,000 (RM42 ribu).
Advani pernah didakwa dalam skandal yang menyatakan beliau menerima bayaran melalui broker hawala. Kes itu digugurkan kerana kekurangan bukti.
Lain-lain
Organisasi Transparency International turut mengkaji pengisytiharan aset ahli-ahli politik di Rusia dan Georgia dengan melakukan perbandingkan dari masa ke semasa bagi mengesan perbezaan dalam pendapatan dan kepentingan kewangan.
Sebagai contoh, di Georgia data dari pangkalan awam pengisytiharan aset digunakan untuk menyelidik potensi konflik kepentingan, mengaitkannya dengan data umum lain dari pejabat pendaftar syarikat awam.
Antara negara-negara Asia lain yang mengamalkan pengisytiharan harta atau aset termasuklah Jepun, Filipina, Korea Selatan dan Thailand.