PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menetapkan 8 Ogos ini untuk mendengar permohonan Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng bagi menangguhkan keputusan mahkamah supaya beliau membayar ganti rugi RM2 juta dalam saman fitnah yang difailkan terhadapnya oleh MonSpace (M) Sdn Bhd dan pengasasnya Datuk Seri Jessy Lai Cha Suang.

Tarikh itu ditetapkan semasa pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mariam Hasanah Othman hari ini.

Peguam Wong Guo Jin yang mewakili Lim, mengesahkan tarikh itu ketika dihubungi Bernama.

Lim memohon penangguhan keputusan Mahkamah Tinggi sementara menunggu penyelesaian rayuannya di Mahkamah Rayuan.

Pada 16 Mac lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Lim membayar RM2 juta kepada syarikat e-dagang dan Lai selepas membenarkan saman fitnah mereka. Lim kemudiannya memfailkan rayuan pada hari yang sama.

Pada 22 Mei lepas, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur menolak permohonan Lim untuk penangguhan keputusan Mahkamah Tinggi yang menyebabkannya memfailkan permohonan penangguhan baharu itu di Mahkamah Rayuan.

Lai dan MonSpace memfailkan saman terhadap Lim pada Jun 2019, kerana mendakwa Lim mengeluarkan kenyataan fitnah yang diterbitkan dalam akhbar berbahasa Inggeris dan Cina bahawa mereka menjalankan perniagaan haram dan menipu pelabur China.

Lai berkata Lim membuat kenyataan itu pada Mei 2017 dan November 2018 apabila beliau membawa sekumpulan individu, yang dikatakan pelabur MonSpace, ke pejabat Lai dan kemudiannya membuat laporan polis terhadapnya.

Beliau mendakwa kenyataan itu memberi tekanan kepada pihak berkuasa, termasuk polis, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk mengambil tindakan terhadapnya.

Dalam penghakimannya, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir berkata mahkamah mendapati MonSpace dan Lai berjaya membuktikan tuntutan mereka terhadap Lim kerana memfitnah dan kenyataan Lim juga jelas telah mencemarkan imej dan reputasi mereka.

-- BERNAMA