Permohonan Biasiswa Tunku Abdul Rahman dibuka mulai hari ini

Aaron berkata legasi serta falsafah kepimpinan Tunku Abdul Rahman dalam pembinaan negara bangsa terus dijadikan teras oleh Kementerian Perpaduan Negara bagi memperkukuh perpaduan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Permohonan Biasiswa Tunku Abdul Rahman (BTAR) dibuka secara rasmi mulai hari ini bersempena tarikh lahir Bapa Kemerdekaan, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata permohonan yang dibuka hingga 8 April depan itu, terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang ingin melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda di universiti awam atau swasta tempatan merangkumi pelbagai bidang.
Beliau berkata pembukaan permohonan BTAR bersempena ulang tahun ke-123 Perdana Menteri Malaysia pertama itu, mencerminkan kesinambungan visi Tunku Abdul Rahman yang menekankan pendidikan sebagai jambatan masa depan dan asas pembinaan negara bangsa.
"BTAR adalah biasiswa komprehensif bagi menyokong pelajar berkeperluan dan berpotensi tinggi untuk melanjutkan ijazah sarjana muda di universiti awam atau swasta tempatan.
"Biasiswa ini menggunakan pendekatan penilaian yang holistik dengan mengambil kira latar belakang, cabaran dan keadaan kehidupan serta aspirasi calon," katanya ketika berucap pada Majlis Memperingati Yang Teramat Mulia Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al- Haj: Negarawan Ulung Pengasas Negara Bangsa di Muzium Negara di sini hari ini.
Aaron berkata permohonan boleh dibuat menerusi laman sesawang Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) di www.yayasantar.org.my.
Dalam pada itu, Aaron berkata legasi serta falsafah kepimpinan Tunku Abdul Rahman dalam pembinaan negara bangsa terus dijadikan teras oleh Kementerian Perpaduan Negara bagi memperkukuh perpaduan dalam landskap masyarakat majmuk yang semakin kompleks.
Beliau berkata Tunku Abdul Rahman bukan sahaja memimpin negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, malah membina kerangka kenegaraan yang kukuh dan berteraskan nilai demokrasi, kedaulatan undang-undang serta perpaduan rakyat yang kekal relevan hingga kini.
"Dalam sebuah negara yang majmuk, Almarhum Tunku dengan berani telah memperkenalkan politik muafakat dan perkongsian kuasa, iaitu suatu pendekatan yang mendahului zamannya. Pesan Almarhum Tunku bahawa "We must think as Malaysians, not as Malays, Chinese or Indians"," katanya.
Aaron berkata gagasan negara bangsa kini diberi penekanan semula oleh kementeriannya sebagai wahana penyatuan, khususnya ketika negara berdepan cabaran polarisasi sosial, perpezaan pandangan dan jurang persefahaman.
Beliau berkata negara bangsa merujuk kepada sebuah negara berdaulat yang rakyatnya berkongsi identiti nasional, nilai sepunya serta semangat kebersamaan sebagai satu bangsa Malaysia, berpaksikan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
"Bagi memastikan aspirasi ini difahami, dihayati dan diterima oleh seluruh lapisan masyarakat, Kementerian Perpaduan Negara akan melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk sesi libat urus, perbincangan meja bulat, sesi townhall serta penganjuran Persidangan Negara Bangsa pada September ini," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


