Sebuah kedai emas kerugian 1.2 juta ringgit selepas dirompak empat lelaki bersenjata api malam tadi.

Kejadian berlaku di Plaza Alam Sentral, di sini.

Isiden jam 7.30 malam itu turut disaksikan empat pekerja dan orang awam.


Menurut Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, ACP R. Supramaniam, tiga lelaki lengkap memakai topi keledar penuh, bersarung tangan dan berbaju hitam meluru masuk ke premis terbabit, manakala seorang lagi menunggu di luar premis.

Salah seorang daripadanya melepaskan tembakan ke siling dan suspek lain memecahkan cermin pameran menggunakan tukul.

Perompak berjaya melarikan beberapa dulang barang kemas hanya dalam tempoh lima hingga tujuh minit.

Pemeriksaan mendapati, premis berkenaan lengkap dengan kamera litar tertutup (CCTV).

Hasil rakaman mendapati suspek menggunakan pistol jenis Revolver.

Kes disiasat mengikut seksyen 3 akta senjata api penalti lebih berat 1971 dan seksyen 395/397 kanun keseksaan.