Skip to main content

Malaysia

Perpaduan benteng utama elak negara diceroboh, hargai keamanan - Bekas 69 Komando

IPOH, 16 Sept - Bekas anggota 69 Komando Sarjan Mejar (B) Zol "'aini Sabar, 68, menunjukkan barangan serta pingat yang diperoleh sepanjang perkhidmatannya di dalam unit 69 Komando ketika ditemui BERNAMA di rumahnya baru-baru ini. Mengimbau tragedi Bukit Jenalik di Kuala Kangsar pada 2 Julai 2000, _BERNAMA
Zol’aini Sabar menunjukkan sebahagian daripada barangan serta pingat yang diperolehnya sepanjang perkhidmatan di dalam unit 69 Komando ketika diwawancara oleh Bernama di kediamannya, di Ipoh, baru-baru ini. - Foto BERNAMA
Advertisement

IPOH: Keamanan dan kedaulatan yang dinikmati Malaysia hari ini adalah hasil perjuangan dan pengorbanan tidak ternilai para perajurit negara yang sentiasa berdiri teguh mempertahankan tanah air.

Mengimbau tragedi Bukit Jenalik di Kuala Kangsar pada 2 Julai 2000, bekas anggota 69 Komando (Sarjan Mejar) Zol’aini Sabar, 68, berkata, mempertahankan kedaulatan negara juga menuntut seluruh rakyat Malaysia bersatu padu dan menghargai erti pengorbanan dan keamanan.

Insiden hitam berkenaan menyaksikan kumpulan pengganas yang digelar Al-Maunah melarikan sejumlah senjata api dan peluru dari Kem Rejimen Askar Wataniah di Gerik sebelum berkubu di Bukit Jenalik dengan niat menggulingkan kerajaan, sekali gus mencetuskan operasi khas dinamakan Ops Subuh.

Zol’aini yang merupakan antara 20 anggota Pasukan 69 Komando yang digerakkan dalam operasi khas itu berkata, insiden berkenaan menjadi peringatan jelas betapa ancaman terhadap keselamatan negara boleh muncul dari dalam sekiranya patriotisme dan penyatuan rakyat rapuh.

“Rakyat hari ini mungkin tidak dapat membayangkan detik cemas yang pernah kita lalui. Sebab itu, bersempena dengan Hari Malaysia, jangan sekali-kali kita mengambil mudah keamanan yang ada. 

"Hargailah tanah air ini dan jangan lakukan perkara yang boleh menggugat keselamatan serta keharmonian yang kita nikmati bersama,” katanya kepada Bernama.

Menceritakan mengenai Ops Subuh, anak jati Kampung Kepayang, Ipoh, itu berkata, pasukan sokongan yang disertainya serta pasukan utama diketuai bekas Komander 69, Komando Datuk Abdul Razak Mohd Yusoff diberi arahan untuk menahan kesemua 27 anggota kumpulan berkenaan secara hidup-hidup tanpa pertumpahan darah.

Beliau menjelaskan, cabaran operasi bukan sahaja melibatkan bentuk muka bumi kebun getah dan belukar yang terdedah kepada serangan hendap, malah ancaman daripada kepakaran bekas anggota keselamatan yang menganggotai kumpulan berkenaan.

“Seorang daripada mereka ialah Zahit Muslim, orang kanan ketua kumpulan Mohd Amin Mohd Razali. Zahit merupakan bekas sahabat saya dalam 69 Komando yang sangat mahir dengan senjata berat serta jerangkap samar (booby trap). Keadaan itu memerlukan kami bertindak dengan penuh berhati-hati,” katanya.

Tragedi hitam itu mengorbankan dua anggota keselamatan yang terbabit dalam operasi itu, iaitu Detektif Koperal R Sanghadevan dari Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia serta seorang anggota komando Grup Gerak Khas Angkatan Tentera Malaysia Truper Mathew Medan.

Zol’aini menegaskan bahawa pengalaman berkenaan mengajar nilai penting dalam mendepani ancaman keselamatan, yang kekuatan sebenar tidak hanya bergantung kepada senjata, sebaliknya kepada kebijaksanaan mengawal keadaan, toleransi dan keutamaan terhadap nyawa serta keamanan.

Beliau berkata, dalam konteks pembentukan dan penyatuan Malaysia hari ini, rakyat berbilang kaum perlu terus merapatkan barisan dan tidak membiarkan diri diadu domba oleh fahaman radikal atau agenda luar yang mahu meruntuhkan negara dari dalam.

Bersempena dengan sambutan Hari Malaysia, bapa kepada empat cahaya mata itu berharap generasi muda memahami bahawa pertahanan kedaulatan negara memerlukan benteng perpaduan yang kukuh daripada seluruh lapisan masyarakat.

“Kestabilan Malaysia tidak wujud secara spontan, tetapi dibina atas pengorbanan dan keharmonian bersama. Pertahankanlah kedaulatan ini demi masa depan negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement